EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Anugerah sebagai dorongan - Hamidin

0 month ago, 16-Jan-2020

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan anugerah Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) yang diterimanya daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini, sebagai pendorong untuk beliau terus memartabatkan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

Hamidin berkata, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, namun juga sebagai ingatan bahawa banyak lagi kerja-kerja yang sedang dan akan menanti beliau demi sukan nombor satu negara itu.

Menurut kenyataan daripada FAM, Hamidin adalah antara tiga individu yang menerima darjah kebesaran masing-masing pada Majlis Kurniaan Darjah di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, hari ini.

Saya menjunjung kasih ke atas DYMM Tuanku Sultan Ibrahim yang berkenan mengurniakan DMIJ kepada saya hari ini. Ini adalah satu penghormatan bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk FAM dan semua keluarga bola sepak tempatan.

Anugerah ini semestinya memberi dorongan kepada saya untuk terus berusaha keras memartabatkan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi, dengan sokongan rakan-rakan di FAM dan pemegang taruh serta agensi kerajaan, katanya.

Sebelum ini, beliau pernah menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, September lalu.

Beliau juga dianugerahkan kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009.

Bekas Setiausaha Agung FAM itu turut pernah menerima anugerah darjah kebesaran Darjah Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012 selain turut menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Selangor pada 1999 dan Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 2002.

Beliau yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Hamidin berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk sebagai ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan dan naib presiden sebelum diangkat menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013.

Kariernya tiba ke puncak apabila dipilih selaku Presiden FAM bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Julai 2018 lalu.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...