EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Annuar Saman Ahli Parlimen Cheras Atas Dakwaan Jual Tanah DBKL

0 month ago, 19-Nov-2020

Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang mendakwa beliau telah menjual 42 plot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, sepanjang memegang jawatan menteri dalam tempoh lapan bulan sejak Mac lalu, beliau tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada DBKL untuk menjual mana-mana aset mereka.

Katanya, tindakan Tan yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan itu sangat berbaur fitnah, menjejaskan reputasinya dan DBKL.

"Ia satu tuduhan berat dan sangat serius," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Dakwaan Tan itu dilaporkan sebuah portal berita dalam talian semalam yang mendakwa sepanjang tempoh Annuar memegang jawatan itu, banyak tanah milik DBKL yang dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan membabitkan projek perumahan dan campuran komersial.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, Tan sepatutnya membangkitkan perkara itu dalam Dewan Rakyat supaya beliau boleh memberikan jawapan, bukannya di luar dewan.

"Tindakan di luar Parlimen tertakluk undang-undang tertentu, justeru saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan undang-undang terhadap beliau mengikut jalur dan proses sedia ada kerana saya memandang serius terhadap tuduhan seperti ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, tidak timbul persoalan menteri daripada parti mana yang memegang sesuatu portfolio dalam Kabinet kerana keputusan kerajaan dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama.

"Menteri pegang portfolio mana pun semua penting. Tidak ada satu menteri yang tidak penting, ini tidak timbul sebagai contoh Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin)...memang betul kalah pada saya (dalam pilihan raya) tetapi dia sudah dilantik sebagai Senator dan mencukupi syarat untuk dilantik sebagai anggota jemaah menteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita berkenaan kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang berpendapat parti itu sepatutnya memegang lebih banyak jawatan menteri atau portfolio utama dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...