EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

DAP anggap SPRM amal pendakwaan terpilih

0 month ago, 14-Oct-2021

 


DAP mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wakil rakyat pembangkang seperti Rozman Isli namun tidak berbuat begitu dalam kalangan ahli parlimen yang menukar sokongan kepada kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata SPRM perlu memberi penjelasan sewajarnya berhubung perkara itu.

"Ini telah membuktikan pernyataan Majlis Presiden PH bahawa SPRM dijadikan sebagai alat politik untuk mengancam dan mengugut wakil rakyat pembangkang bagi mendorong mereka untuk menyokong kerajaan, terutama ketika mereka memiliki majoriti parlimen yang lemah dan tidak stabil.

"Di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), SPRM tidak lagi dilihat sebagai organisasi yang adil, bebas dan profesional yang memerangi rasuah di peringkat tertinggi, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Malah bekas ketua polis negara turut mendedahkan kegagalan SPRM bertindak menentang rasuah politik yang melibatkan ahli parlimen yang melompat menyokong kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi Ahli Parlimen Labuan, Rozman didakwa atas satu tuduhan rasuah semasa dia menjadi timbalan pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan. Ahli Parlimen Warisan itu kemudian mendakwa dia dikenakan pertuduhan tersebut kerana enggan untuk meninggalkan partinya untuk menyokong kerajaan sekarang.

Katanya, pertuduhan yang baru dibuat oleh SPRM ini adalah satu rencana yang sudah dirancang lama dan bermotifkan politik.

Bekas anggota parlimen Umno itu mendakwa bahawa sebelum ini dia dihadapkan ke mahkamah sebanyak dua kali tetapi setiap kali, pertuduhan berkenaan tidak diteruskan.

Bagi saya ada dua objektif yang ingin dicapai oleh pihak yang berkepentingan politik yang menerajui operasi ini.

Pertama dalam masa mereka memujuk saya satu setengah tahun selama ini untuk saya meninggalkan Warisan dan menyokong kerajaan (perdana menteri), kes ini sengaja diadakan untuk menakut-nakutkan dan menekan saya.

Kedua, pertuduhan ini juga direka bentuk dan disediakan supaya apabila saya tidak mahu mengalah dengan tekanan mereka maka akhirnya ia akan dibacakan juga di mahkamah untuk menjatuhkan imej saya sebelum PRU ke-15 yang akan datang ini," katanya kepada media di mahkamah.

Lim berkata kegagalan SPRM bertindak terhadap wakil rakyat yang melompat parti untuk menyokong kerajaan mengesahkan bahawa badan itu dijadikan alat politik kerajaan.

"SPRM perlu menjelaskan lima kes rasuah politik yang melibatkan ahli parlimen yang melompat parti berikutan dorongan atau ugutan apabila siasatan SPRM berakhir begitu sahaja setelah mereka menyokong kerajaan, tidak ada tindakan yang diambil oleh SPRM," katanya.

: Malaysiakini




Live Website Traffic


loading...