EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Ambil Serius Langkah Pencegahan HFMD

28 month ago, 01-Aug-2018

Aug 1, 2018
0

KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu memberi perhatian serius kepada saranan pihak berkuasa kesihatan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan bertindak sewajarnya terhadap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) berikutan penularannya ke seluruh negara pada kadar yang membimbangkan.

Tahun ini sahaja, dua kes kematian berkaitan penyakit itu dilaporkan di Pulau Pinang dan Sarawak baru-baru ini.

Pada 28 Julai, seorang kanak-kanak berusia dua tahun setengah yang disyaki akibat HFMD meninggal dunia di Sarawak. Kanak-kanak yang berasal dari Kampung Pangray, Daro di Mukah itu mengalami demam pada 24 Jun dengan gejala ruam di telapak tangan dan kaki, serta ulser mulut keesokan harinya.

Di Pulau Pinang, seorang bayi lelaki berusia 17 bulan disahkan menjadi mangsa korban pertama wabak HFMD pada Jun lalu. Kanak-kanak itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 3 Jun setelah mengalami selesema, masalah pernafasan dan ulser mulut tetapi keadaannya semakin teruk. Ujian mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru kerana komplikasi daripada Enterovirus 71 (EV 71), yang menyebabkan HFMD.

Sehingga artikel ini, ditulis sejumlah 39,408 kes penyakit itu direkodkan di seluruh negara pada tahun ini sejak 1 Jan hingga 29 Julai.

Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 11,669 kes diikuti Kuala Lumpur (4,552) dan Sarawak (4,551).

Peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah sangat tinggi bagi beberapa negeri seperti di Negeri Sembilan sebanyak 186.2 peratus dan di Pulau Pinang 116 peratus.

ASINGKAN PESAKIT

Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Selangor di Shah Alam Datuk Dr Zulkifli Ismail menekankan kepentingan mengasingkan pesakit memandangkan penyakit itu mudah merebak bukan sahaja melalui sentuhan terus malah peralatan dan permainan yang digunakan pesakit.

Beliau menjelaskan: “Virus HFMD mudah menular sama ada melalui sentuhan langsung atau cecair hidung, air liur, lepuh dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada sebarang permukaan termasuk alatan permainan yang tercemar dengan virus itu.

“Oleh itu, pihak pengurusan pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah hendaklah mengasingkan pelajar yang kelihatan tidak sihat dan segera dihantar pulang ke rumah.

“Anak yang tidak sihat hendaklah diasingkan daripada kanak-kanak lain, tidak dibawa keluar rumah dan pastikan tidak berlaku perkongsian barang dengan orang lain, memandangkan virus yang menjadi punca HFMD merebak dengan mudah melalui sentuhan pelbagai,” jelasnya kepada Bernama.

Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih gejala seperti demam, ulser mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki.

Jangkitan HFMD juga sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran di mana ia mudah berlaku di kawasan sesak serta mutu kebersihan yang rendah.

Maka, tidak hairanlah apabila virus HFMD dilaporkan ditemui di tempat awam umpamanya pada troli pusat beli-belah di beberapa pasar raya di Pulau Pinang .

Orang dewasa juga boleh menjadi pembawa HFMD tanpa disedari, kerana mereka yang dijangkiti virus itu mungkin hanya mengalami simptom ringan seperti demam biasa.

Oleh sebab itu, amalan kebersihan diri sangat penting terutamanya bagi mereka yang banyak meluangkan masa dan menguruskan kanak-kanak seperti golongan ibu bapa serta petugas taska dan tadika.

PRIHATIN TERHADAP SIMPTOM

Dr. Zulkifli berkata ibu bapa haruslah memastikan anak mereka yang sakit mendapat rawatan segera dan hendaklah sentiasa prihatin sekiranya terdapat simptom-simptom HFMD.

“Kalau didapati anak tidak lalu makan, letih, lesu, kencing berkurangan, asyik tidur dan bernafas lebih cepat daripada biasa, perlu segera di bawa ke hospital,” tegas mantan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia itu.

Beliau menjelaskan bahawa penyakit HFMD berpunca daripada virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi virus Coxsackie A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71).

HFMD yang berpunca daripada virus Cox A16, yang sering dikesan di Semenanjung, lazimnya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung sehingga mengakibatkan kematian.

Kes kematian berkaitan HFMD dipercayai akibat virus EV71 sebelum ini pernah dikesan berlaku di Sarawak melibatkan kematian 31 kanak-kanak dalam tempoh 15 April hingga 30 Jun pada 1997.

Kini, dikhuatiri virus EV71 itu mula merebak kembali, justeru orang ramai, terutamanya ibu bapa perlu lebih prihatin dan tidak boleh memandang ringan akan penularan penyakit tersebut. – BERNAMA

Loading...

Artikel Berkaitan



SUMBER : mynewshub.tv



Live Website Traffic


loading...