EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Ambil iktibar kejatuhan Melaka

0 month ago, 11-Oct-2021



DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah A;-Asr, 1-3

BERHUBUNG perkembangan politik terkini di Melaka, wahai saudaraku yang dikasihi, ambil iktibar daripada kejatuhan empayar Melayu Melaka lebih 500 tahun dulu.

Jika kita rujuk kejatuhan banyak empayar termasuk Melaka, satu daripada faktornya adalah penguasa-penguasa terakhirnya (termasuklah orang besar seperti menteri) tersungkur di kaki perempuan, korupsi berleluasa dalam negara manakala rakyat dizalimi dengan pelbagai tekanan termasuk dikenakan cukai melampau.

Ada yang membiarkan permaisuri 'menguasai keadaan' - mereka bagikan tunggul atau 'yes man' saja kepada segala kehendak bini.

Selain itu terlalu ramai pemimpin menjadi 'kaki bodek' (mengiyakan apa saja kelakuan pemerintah iaitu tidak berani menegur mereka manakala sebahagian lagi menjadi pengkhianat - mereka menjadi gunting dalam lipatan, memberi bantuan kepada musuh pada saat-saat genting).

Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.

Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.

Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.

Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.

Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...

Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan) yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528.

Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti fitnah, adu domba, pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana...ya fikir-fikirkanlah sejenak sama ada parti dan kerajaan kita kini di zaman gerhana atau tidak!

............oo000oo........... 
PENAFIAN1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...