EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

TV Alhijrah lancar kempen jom vaksin

0 month ago, 09-Jun-2021

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KETIKA kerajaan rancak menjalankan kempen daftar vaksin, ada juga segelintir manusia yang menongkah arus, kononnya mereka kuat dan tidak perlu mengambil vaksin.

Tidak mengapa kalau golongan tersebut enggan menerima suntikan vaksin tapi yang menjadi masalah sekarang, mereka turut menghasut orang lain supaya tidak mengambil suntikan vaksin.

Memandangkan golongan tersebut semakin berleluasa mengembangkan diayah yang tidak benar tentang pengambilan vaksin, kerajaansedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menyedari akan peri pentingnya mewujudkan imuniti kelompok sebagai usaha memerangi wabak Covid-19, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab penuh membantu usaha pihak berwajib dengan melancarkan Kempen Jom Vaksin menerusi platform-platform siarannya.

Namanzee Harris harap Kempen Jom Vaksin dapat menyedarkan orang ramai agar mengambil suntikan vaksin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, Kempen Jom Vaksin dilaksanakan sejak 26 Mei lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Jun 2021.

Kempen Jom Vaksin adalah kempen kesedaran yang bertujuan menjernihkan salah tanggap masyarakat serta menyeru mereka terutamanya warga emas untuk hadir ke temu janji suntikan vaksin Covid-19.

Insya-Allah kita akan lanjutkan kempen ini ke bulan seterusnya sekiranya ia memberi impak positif kepada masyarakat. Menggunakan tema Jom Vaksin: Ikhtiar dan Tawakal, kempen ini bersifat memujuk serta memberi ilmu kepada orang ramai terutamanya warga emas dan mereka yang berada di luar bandar untuk tidak mensia-siakan peluang suntikan vaksin.

Ustazah Asma Harun, antara yang terlibat dalam Kempen Jom Vaksin.

Anda telah mendaftar, maka ayuh sama-sama pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan olehJawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), katanya.

Menurut Namanzee, TV AlHijrah percaya bahawa suntikan vaksin Covid-19 adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan Maqasid Syariah serta selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Oleh yang demikian, Kempen Jom Vaksin dilaksanakan secara holistik dan bersifat 360 darjah. Dua inisiatif utama akan digunakan bagi mendokong inisiatif kempen sepanjang sebulan ianya berlangsung.

Inisiatif pertama adalah menerusi program-program istimewa yang disiarkan di platform televisyen. TV AlHijrah membariskan pelbagai program istimewa iaitu peringatan buat masyarakat untuk hadir ke temu janji vaksinasi.

Kempen Jom Vaksin anjuran TV Alhijrah turut diuar-uarkan menerusi pelbagai platform.

Antara program-program tersebut adalah Analisis, My #Qurantime, E-Kaunter Netizen Versi PKP, Al-Istibyan, Dengar, Assalamualaikum, Kapsul Wabak, Keluarga dan Berita AlHijrah, jelas Namanzee.

Selain itu, TV AlHijrah juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyiarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), rerayap, dan video pendek tentang program vaksinasi ini.

Menurut beliau, kempen tersebut turut mendapat sokongan beberapa pendakwah tempatan yang berbesar hati memberikan kata-kata sokongan dan suntikan semangat agar masyarakat hadir pada sesi vaksinasi bagi mewujudkan imuniti kelompok menjelang penghujung tahun 2021.

Antaranya adalah Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali (Pengerusi Dewan Dakwah), Ustaz Husaini Mahmur (Johan Tilawah Al Quran Remaja), Datuk Ustaz Badli Shah Alauddin (Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan), Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia), Ustaz Roslan Mohamed (Mantan Pensyarah Kanan di Universiti Malaya) dan Ustazah Asma Harun (Pendakwah Bebas).

Selain itu, majlis bacaan Yasin, Al Kahfi dan Al Mulk juga dianjurkan oleh TV AlHijrah setiap hari, pukul 5.30 pagi dan 4.30 petang bagi mendoakan kesejahteraan negara serta seluruh rakyat Malaysia.

Paling istimewa, TV AlHijrah turut melancarkan lagu tema untuk kempen ini. Lagu PadaMu Tuhanku, nyanyian kakitangan TV AlHijrah iaituNorkamalAzhary
Ahmad dimainkan setiap hari di kaca televisyen sebagai pembakar semangat untuk rakyat Malaysia berjuang melawan Covid-19.

Inisiatif kedua adalah inisiatif di platform media sosial. Menerusi inisiatif kedua ini, TV AlHijrah memperkemaskan kandungan media sosial seperti Instagram, Facebook, portal AlHijrahnews.com dan portal gaya hidup HBit.

Pelbagai poster, artikel serta video seruan dari sudut pandang para agamawan dan pakar perubatan yang memberi penjelasan menyeluruh tentang vaksin Covid-19 akan dimuatnaik setiap hari, tambahnya.

-BebasNews

Please follow and like us:



SUMBER : bebasnews.my



Live Website Traffic


loading...