EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Album Belagu Dayang Nurfaizah Mahu Popularkan Lagu Melayu Klasik Kepada Generasi Muda

0 month ago, 13-Jan-2021
save 2.0

Setelah kali terakhir menghasilkan album Kasih yang mengetengahkan lagu-lagu kontemporari klasik 15 tahun lalu, penyanyi Dayang Nurfaizah kini kembali dengan sebuah album berjudul Belagu.

Dengan mengetengahkan lagu-lagu Melayu Klasik untuk album projek khas bersama Aubrey Suwito itu, Dayang menyatakan ia adalah impiannya sejak dahulu untuk mempopularkan lagu-lagu Melayu Klasik kepada generasi muda.

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan lagu-lagu Melayu Klasik ini kerana melodi dan bait-bait liriknya yang cukup indah. Kebanyakan lagu-lagunya umpama terjemahan tentang orang-orang dulu berbahasa dengan santun dan kiasan serta penuh kelembutan.

Saya melihat dengan penghasilan serta rakaman semula akan mempopularkan semula lagu-lagu Melayu Klasik ini kepada generasi muda agar mereka dapat menghayati keindahannya, ujarnya.

Dayang berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran album Belagu yang berlangsung semalam.

Menurut Dayang, untuk judul album berkenaan iaitu Belagu diambil daripada bahasa Sarawak yang bermaksud menyanyi.

Ujarnya, terdapat lapan buah lagu yang terkandung seperti Tudung Periuk, Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Husaini), Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doamu.

Dalam pada itu, penyanyi itu menyatakan antara kelainan yang ditampilkan untuk album berkenaan apabila ia dirakam secara live dan bukan di dalam studio seperti kebiasannya.

Sebenarnya, impian untuk merakamkan lagu ini secara live dengan diiringi pemuzik memang satu lagi impian saya sejak dahulu.

Pada saya, rakaman secara live sebenarnya memberi lebih kepuasan kepada saya berbanding rakaman di studio, biarpun membabitkan kos yang tinggi, ujarnya.

Album Belagu diterbitkan oleh syarikat miliknya, DN & AD Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Album ini boleh diperoleh secara digital di platform muzik maya utama seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer, dan Joox mulai 12 Februari 2020. Selain itu, ia juga akan dijual secara album fizikal dalam edisi terhad. KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?



SUMBER : kopiplanet.com



Live Website Traffic


loading...