EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Akses internet lebih baik keutamaan Annuar Musa

0 month ago, 31-Aug-2021




30 OGOS: Tan Sri Annuar Musa, hari ini, memberikan jaminan bahawa rakyat Malaysia akan menikmati akses internet lebih baik menerusi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam tempoh 100 hari beliau memegang jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata beliau bersyukur diberi kepercayaan berkhidmat di kementerian penting, namun pada masa sama mengakui menggalas cabaran besar berikutan harapan rakyat menggunung dalam hal berkaitan komunikasi, multimedia serta teknologi maklumat.

Cabaran itu perlu kita uruskan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 yang belum lagi selesai. Ini berikutan KKMM adalah nadi utama kepada pembentukan sesebuah kerajaan, saluran maklumat menghubungkan kerajaan dengan rakyat.

Dalam suasana berada pada zaman internet yang dianggap satu lagi hak asasi manusia dan dalam kehidupan sekarang, tanpa kemudahan internet, ia adalah cabaran besar, katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugasnya di KKKM selepas selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang tadi.

Terdahulu, kira-kira jam 5.44 petang tadi, beliau mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu dan mengaminkan bacaan doa serta beramah mesra dengan petugas kementerian.

Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Mazlan Abd Mutalib.

Peranan baharu ini bukan tanggungjawab individu tetapi memerlukan kerjasama berpasukan kerana hasil luar biasa memerlukan usaha luar biasa dan bukan lagi ruang untuk bersahaja.

Saya mengharapkan bantuan, kerjasama daripada pegawai, agensi di bawah kementerian, persatuan pemegang taruh, NGO (badan bukan kerajaan), kalangan profesional untuk sama bergandingan, kata Annuar.

Dalam pada itu, beliau menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu melihat hasil dalam masa 100 pertama memikul tugas menteri.

Saya memberi jaminan, insya-Allah, perkara utama dapat dilakukan serta-merta. Kami ingin mengambil peluang ini ingin mengucapkan terima kepada Datuk Seri Saifuddin Abdullah (bekas Menteri KKMM) yang berkhidmat dengan cemerlang.

Saya akan menyambung kerja kuat, program baik di samping perkara baharu yang saya sendiri berikan keutamaan. Justeru saya memerlukan masa seminggu dua mendengar taklimat untuk memahami selok-belok, pentadbiran dan ruang lingkup kementerian ini, katanya.

Beliau juga akan berbincang dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya mereka dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat di sebalik keuntungan yang dijana terutama dalam tempoh pandemik ini.
............oo000oo........... 
PENAFIAN1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...