EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

'Abang datang, sayang jemput ye...' [METROTV]

1 month ago, 10-Dec-2019

CINTA mereka mula berputik sewaktu sama-sama menunaikan umrah tiga tahun lalu dan ikatan terbina itu berakhir di jinjang pelamin.

Namun, tidak semua dikecapi kekal selamanya dan apa dilalui Khairul Azwan Razali, 24, terlalu sukar ditempuhi kerana pengakhiran amat menyedihkan.

Rumah tangga dibina hanya sempat bertahan selama 15 bulan apabila isteri tercinta Nur Syamini Alya Mazlan, 24, terlebih dahulu dijemput Ilahi akibat kanser ovari.

Ketika berkongsi kisah dilalui, Khairul Azwan berkata, arwah meninggal dunia selepas lebih tiga tahun bertarung dengan penyakit itu di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya dan jenazah dikebumikan di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

KHAIRUL Azwan dan arwah isterinya ketika menunaikan umrah.

Kami mendirikan rumah tangga pada 8 Jun tahun lalu dan arwah meninggal pada 13 Ogos tahun ini.

Terlalu singkat pertemuan kami dan ketika itu, kami baru merasai kebahagiaan sejak bersua muka di Kota Suci.

Arwah dimasukkan ke IKN pada 13 Julai dan sebulan selepas itu, dia meninggal dunia. Malah, sepanjang hayatnya, arwah pernah berpesan supaya menjaga keluarga jika umurnya tidak panjang, katanya yang menetap di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.

Apa yang dilalui Khairul Azwan dikongsikan menerusi Twitter apabila dia memuat naik gambar ketika diijab kabul serta pusara arwah.

Gambar itu dimuat naik dengan hantaran From This To This merujuk kepada pertemuan dia dengan isteri yang berakhir dengan kematian.

Malah, ia mendapat simpati warganet hingga mencapai 18,100 ulang ciapan serta lebih 25,000 tanda suka.

Turut dimuatkan ialah pesanan terakhir arwah iaitu: Kalau sayang xdok (tiada) dh (sudah), abang tolong jaga umi abah dan adik adik kita neh (ya). Abang jaga mereka macam mana abang jaga diri abg.

Untuk sayang, berehatlah dengan tenang dan bahagia nanti abang datang, sayang jemput ye.

Rata-rata warganet memberi kata-kata semangat kepada Khairul Azwan antaranya: @977Hafiz, aku tak kenal kau, bro stay strong Insya-Allah jumpa kat (di) syurga nanti.

@HasrulRizwan, Salam takziah. Semoga kelak disatukan kembali dan bergembira di alam abadi. @iyoldaus, semoga kuat dan tabah. Orang lain takkan faham apa yang dilalui, cuma aku nak kau tahu masih ada orang sekeliling sayangkan kau...jadi, kuatkan diri kuatkan hati.

Walaupun sudah lebih setahun berlalu, Khairul Azwan merasai arwah masih berada di sisinya terutama ketika berniaga di gerainya.

Selepas mendirikan rumah tangga, arwah sentiasa membantu berniaga. Sebab itulah, saya berasa seperti ada orang di sebelah.

Perancangan Allah SWT memang tidak dapat difikir dengan akal fikiran manusia tetapi kita bukan boneka malah kita hamba Allah yang sedang diuji.

Sebagai hamba-Nya perlu teruskan hidup dengan berusaha sebagai hamba dan bukan boneka, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...