EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Bapa pula 'pau' duit raya anak!

1 month ago, 09-Jun-2019

AKIBAT gagal mendapatkan duit raya daripada anaknya sebanyak RM10 untuk membeli kad prabayar, seorang bapa sanggup menendang kepala kanak-kanak terbabit dalam kejadian di Kampung Pak Damat, Gong Badak, di Kuala Nerus, Khamis lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan turut mengakibatkan kecederaan pada ibu kanak-kanak terbabit apabila wanita itu dipukul dengan papan luncur kerana cuba menghalang suaminya yang bagaikan dirasuk apabila menendang kepala anak kandungnya tanpa belas kasihan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, sebelum kejadian, bapa berusia 32 tahun itu mengejutkan anaknya yang tidur untuk meminjam wang sebanyak RM10 daripada kanak-kanak terbabit.

Katanya, tindakan suspek mengejutkan anak lelakinya berusia 11 tahun dengan cara kasar menyebabkan kanak-kanak itu terjaga.

Suspek kemudian meminta wang sebanyak RM10 daripada anaknya dengan alasan untuk membeli kad telefon prabayar.

Bagaimanapun, suspek gagal mendapatkan wang berkenaan apabila kanak-kanak terbabit memberitahu dia tidak memiliki wang, katanya ketika dihubungi Harian Metro,, hari ini.

Beliau berkata, jawapan kanak-kanak terbabit menimbulkan kemarahan kerana mendakwa kanak-kanak itu memiliki wang selepas beraya di rumah saudara.

Menurutnya, tidak puas hati dengan jawapan anaknya yang didakwa menipu, suspek kemudian bertindak menendang kepala kanak-kanak terbabit tanpa belas kasihan.

Perbuatan suspek disedari isteri berusia 31 tahun yang kemudian cuba menghalangnya daripada terus bertindak demikian.

Bagaimanapun katanya, kemarahan suspek semakin menjadi-jadi apabila dia bertindak memukul isterinya dengan papan luncur.

Mohd Razmi berkata, suspek turut melempar kereta mainan ke arah wanita terbabit menyebabkan berlaku kecederaan pada dahi wanita berkenaan.

Beliau berkata, suspek juga didakwa kerap mengamuk sehingga menyebabkan kerosakan harta benda di dalam rumah, malah pernah menyebabkan kecederaan orang di sekelilingnya, sebelum ini.

Susulan kejadian itu wanita terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, petang kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga 2012.

Susulan laporan dibuat isteri, suspek ditangkap 11.45 malam tadi di kawasan Tepoh katanya.

Suspek direman dan sudah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com