500 pelancong terkandas di Pulau Tioman

by Edisi Viral


HOME Posted on 15 Feb 2017 04:00:15


-

KUANTAN 15 Feb. – Keadaan laut bergelora dan angin kencang ekoran cuaca buruk sejak semalam menyebabkan kira-kira 500 pelancong terkandas di Pulau Tioman, Rompin dekat sini.

-
-
-

Situasi itu berlaku kerana perkhidmatan feri ke pulau peranginan tersebut terpaksa dihentikan sementara waktu sehingga cuaca kembali pulih.

-

Pengurus Operasi Bluewater Express, Mohammad Syafiq Farhan berkata, keadaan ombak besar serta angin kencang menyebabkan kapten feri tidak mahu mengambil risiko menghantar dan mengambil pelancong di pulau berkenaan.

-
-

-Kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada pelancong yang mahu kami meneruskan perkhidmatan tetapi kami tidak mahu mengambil risiko kerana melibatkan isu keselamatan dan nyawa penumpang.

-

-Difahamkan, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran sehingga Jumaat ini namun kami akan kembali beroperasi semula jika keadaan cuaca bertambah baik,- katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

-

Bluewater Express yang berpangkalan di Mersing, Rompin mempunyai sembilan feri yang setiap satunya mampu membawa kira-kira 200 penumpang.

-

Mohammad Syafiq berkata, kejadian sama pernah berlaku ketika perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang membabitkan kira-kira 400 pelancong.

-

Sementara itu, seorang pelancong, Abdul Ifwad Mohamad Ruslee, 27, berkata, dia tiba di pulau peranginan berkenaan pada Sabtu lalu untuk bercuti bersama isteri serta anaknya.

-

-Apabila tiba di Pulau Tioman, saya diberitahu oleh pelancong lain tentang keadaan laut bergelora sejak Jumaat lalu,- katanya.

-

Difahamkan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menghantar kapal KD Terengganu milik agensi keselamatan itu untuk membawa keluar pelancong yang terkandas di pulau berkenaan.

-

Kapal itu akan bertolak dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini pukul 9 malam ini dan dijangka tiba di pulau berkenaan pagi esok. – UTUSAN ONLINE

-


Related News


Leave a Comment:

Search
Side News