Zulkarnain mahu J Revolusi jadi filem francais

SELEPAS hampir setahun pembikinannya, filem yang julung kalinya membabitkan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), J Revolusi akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 Mac depan.

Filem ini menampilkan barisan pelakon  hebat seperti Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Festival Filem Malaysia Ke-26) Zul Ariffin, Izara Aishah, Pelakon Wanita Terbaik (Festival Filem Malaysia Ke-27) Fazura serta Farid Kamil. Turut membintangi filem ini adalah bakat-bakat besar Malaysia seperti Azad Jazmin dan Iedil Putra serta penampilan khas oleh Datuk Hans Isaac, Fatimah Abu Bakar, dan para atlet Seni Bela Diri Campuran (MMA) dari One Championship iaitu Peter Davis, Saiful Merican, Jenathan dan Davron.

Berkongsi mengenai pembikinan filem ini, pengarah, Mohd Zulkarnain Mohd Azhar berkata, dia bersyukur apabila filem ini berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.


"Alhamdulillah kami mengambil masa 50 hari untuk menyelesaikan penggambaran melibatkan kawasan di kapal korek di Tanjung Tualang, Perak.

"Selain itu, kami turut menjalani penggambaran di sekitar KLCC dan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur," katanya.

Zulkarnain menambah, dia tidak berdepan cabaran besar sepanjang penggambaran dan bertuah mendapat team yang komited dengan kerja masing-masing.

"Filem ini membabitkan setting yang besar, lebih-lebih lagi melibatkan babak pergaduhan.

"Jadi bila setting besar, kami perlukan tenaga kuat yang ramai, masa yang banyak untuk pastikan setiap babak itu boleh diambil dengan cantik dan baik.

"Dalam kebanyakan babak, hanya babak melibatkan Izara dan Zul berlawan yang mengambil masa panjang iaitu kira-kira 24 jam.

"Apatah lagi mereka perlu banyak kali menjalani sesi latihan agar tidak mendatangkan kecederaan kepada kedua-duanya," jelasnya.

Zulkarnain berkata, dia dan pihak penerbit termasuk semua yang terlibat meletak harapan besar agar filem ini berjaya.

Katanya dia juga berharap J Revolusi selepas ini akan berkembang menjadi sebuah filem francais pada masa akan datang.

"Kalau James Bond masih boleh relevan hingga ke hari ini dengan berpuluh episod, begitu juga dengan harapan saya untuk filem ini.

"Tapi keutamaan kami kini adalah pada promosi filem J Revolusi dan kami amat berharap penonton akan menonton dahulu filem ini di pawagam sebelum membuat andaian.

"Saya juga sedia untuk dibandingkan dengan filem luar, tapi saya harap mereka tonton dahulu filem ini," katanya yang turut merujuk kepada filem lama dan filem luar dalam menghasilkan filem pertama arahannya.

J Revolusi yang menelan belanja RM3 juta ini mengisahkan tentang Jay Zulkarnain yang merupakan seorang ketua serangan bagi Unit Tindakan Khas (UTK) di Malaysia.

Oleh kerana Jay dan pasukan operasinya memiliki kehebatan serangan maut yang luar biasa, mereka menjadi mimpi ngeri bagi setiap pengganas.

Tetapi, apabila adik perempuan Jay, Dian (Nur Fazura), seorang ejen dalam penyamaranditangkap oleh pengganas misteri yang telah memerangkap Jay dengan tuduhan membunuh ahli kumpulannya, Jay perlu bertindak melawan masa untuk menyelamatkan adiknya dan membongkar rahsia lelaki yang tidak mengalah untuk menghancurkan Jay itu.