[VIDEO] Salah Tangkap Khalwat, Suami Isteri Saman JAWI

  • Print
  • Email
Details

Published on Friday, 17 February 2017 17:46

SEPASANG suami isteri mendapat malu besar apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat serbuan seterusnya menahan mereka secara salah atas dakwaan khalwat di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur.

Tidak sekadar itu, Mohd. Ridhuan Giman, 34, mendakwa seorang pegawai turut mengambil gambar dan video isterinya, Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, yang tidak berpakaian lengkap.

Berikutan itu, pasangan ini menfaikan saman terhadap JAWI di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan pegawai penguat kuasa JAWI Mohd Shiham Ramli dan Mohammad Izehar Md Amin; Ketua Pegawai Penguat kuasa JAWI; Ketua Pengarahnya; JAWI ; Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Pasangan ini dilaporkan ditangkap khalwat kira-kira jam 1.30 pagi, pada 8 Januari lalu.

Menurut pernyataan tuntutan, Mohd. Ridhuan dan Siti Sarah telah bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur dan pernikahan itu didaftarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mengimbas kembali insiden itu, Mohd Ridhuan memberitahu, pegawai serbuan meluru ke dalam bilik walaupun sudah dimaklumkan bahawa isterinya berada dalam bilik tanpa berpakaian lengkap.

Melihat keadaan isterinya itu, pegawai lelaki itu kemudian mengambil gambar serta video, hingga menyebabkan dia tidak berpuas hati lalu berlaku pergelutan dengan pegawai itu.

Jelasnya, dia sudahpun menunjukkan gambar perkahwinan dan imej sijil nikahnya dalam telefon bimbit sebagai bukti status suami isteri namun, bukti itu ditolak.

Pihak JAWI tetap berkeras menahan pasangan suami isteri ini dan seterusnya dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee untuk laporan tangkapan khalwat.

Menurut laporan BH Online, akibat penahanan itu, ibu kepada Mohd Ridhuan dikehendaki menandatangani Bon Diri bagi menjamin kehadiran untuk siasatan lanjut.

Susulan itu, pasangan ini  menuntut perisytiharan tangkapan itu adalah salah, tidak sah dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan serta Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan perisytiharan ia menceroboh privasi serta salah guna kuasa, selain menuntut ganti rugi.

MYNEWSHUB.CC