www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Undang-undang kawal dana politik disokong: Jerman contoh paling baik

0 month ago, 12-Jul-2018








oleh: Dr Muhammad Fathi Yusof 

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan peraturan berkaitan pembiayaan politik seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam amat disokong. Langkah ini bertepatan dengan cadangan komprehensif yang pernah dikemukakan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP)

JKNMPP telah dilancarkan pada 14 Ogos 2015 untuk menyediakan satu forum perundingan rakyat bagi ahli-ahli masyarakat sivil membincangkan langkah-langkah meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan integriti oleh parti-parti politik dan ahli politik dalam memperoleh dana bagi tujuan aktiviti-aktiviti politik.

JKNMPP menjalankan tugasnya mulai Ogos 2015 hingga Ogos 2016, dan menyiapkan laporan yang mengandungi maklumat dan cadangan yang menyeluruh dalam isu berkenaan. Dalam proses tersebut, tinjauan ke atas amalan di negara-negara lain di seluruh dunia termasuklah Amerika Syarikat dan Jerman telah dibuatdua buah negara yang disebut oleh Perdana menteri semalam.

Secara khususnya kajian perbandingan terperinci dijalankan melibatkan sistem perundangan dan amalan di Kanada, Korea Selatan, India, Mexico dan Taiwan. Negara-negara ini dianggap mempunyai pengalaman yang terbaik dan unik dalam reformasi perundangan serta penguatkuasaan peraturan pembiayaan politik.

Hasil dari tinjauan dan kajian itu, JKNMPP telah mengemukakan 32 cadangan berasaskan 6 prinsip iaitu:

Prinsip 1: Keluhuran undang-undang
Prinsip 2: Meningkatkan penyertaan masyarakat
Prinsip 3: Perlindungan hak awam
Prinsip 4: Ketelusan 
Prinsip 5: Akauntabiliti dan integriti
Prinsip 6: Persaingan politik yang sihat

Di antara cadangannya adalah untuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bagi mengawal pendapatan dan perbelanjaan parti politik, serta menyediaan dana awam untuk parti-parti politik melalui wakil rakyat.

Negara Jerman adalah salah satu contoh yang baik dalam menyediakan dana awam untuk parti politik. Di Jerman dana awam atau wang kerajaan diperuntukkan khusus untuk parti-parti politik. Ia dilaksanakan melalui satu peraturan yang dimasukkan dalam Akta Parti Politik Jerman. Pemberian peruntukan khusus ini dibuat berasaskan kepada kedudukan dan sokongan sesebuah parti itu dalam masyarakat. Jika parti itu besar dan berpengaruh, maka ia berhak mendapat peruntukan yang lebih besar.

Kadar peruntukan itu dibuat melalui kiraan yang terperinci dengan melihat beberapa faktor seperti sokongan dan pencapaian parti itu dalam pilihan raya, dan sumbangan orang-orang perseorangan yang diberikan kepada parti itu.

Walau bagaimana pun hanya parti yang mendapat lebih 1% undi popular yang layak mendapat peruntukan ini. Peraturan ini dibuat bagi mengelakkan penubuhan parti semata-mata untuk tujuan mendapat peruntukan kewangan.

Apa yang menarik, kadar peruntukan diberikan berdasarkan kepada bilangan undi yang diperoleh oleh parti berkenaan. Misalnya, kerajaan akan memberikan sebanyak E0.85 untuk setiap undi yang diperolehi. Jika Parti A mendapat 2 juta undi dari pengundi seluruh negara misalnya, maka ia layak mendapat pembiayaan kerajaan sebanyak E1.7 juta. Walau bagaimana pun terdapat faktor lain yang diambilkira dalam pengiraan ini.

Selain itu, di Jerman, peruntukan awam juga diberikan berasaskan jumlah sumbangan orang ramai yang dibuat secara rasmi dan telus, tetapi pada jumlah kecil-kecilan kepada parti itu. Setiap sumbangan yang diberikan oleh orang ramai akan disokong oleh sumbangan tambahan oleh kerajaan. Dasar ini dibuat bagi menggalakkan penglibatan orang ramai dalam kesedaran politik serta menggalakkan sumbangan individu berbanding sumbangan korporat, atau sumbangan pada jumlah yang besar.

Perlu diingat, sumbangan peruntukan kerajaan untuk parti politik ini dibuat dengan disertakan syarat yang ketat bagi mengawal pendapatan dan perbelanjaan parti politik. Parti-parti politik diwajibkan menghantar rekod perbelanjaan mereka secara menyeluruh dan telus. Kawalan ketat dibuat ke atas sumbangan korporat terutamanya syarikat yang ada kaitan dengan projek-projek atau tender kerajaan.
Kaedah ini mungkin agak asing bagi rakyat Malaysia. Sebenarnya inilah kaedah yang terbaik untuk mengawal berlakunya penyelewengan dan ketirisan dalam penggunaan dana kerajaan. Kita tidak boleh nafikan bahawa parti-parti politik memerlukan wang untuk beroperasi. Tanpa peruntukan yang dibuat secara telus dan adil, parti-parti ini, 'terpaksa' mencari jalan yang lain yang kadang-kadang melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tegasnya, kita amat menyokong usaha untuk mewujudkan dana politik dan kawalan ke atas kewangan parti-parti politik. Kita berharap usaha ini disokong oleh rakyat dan dapat segera dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Dr Muhammad Fathi Yusof ialah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia  
Kuala Lumpur

SUMBER : 1media.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts