Umrah kali keempat

Rancangan realiti Bersamamu TV3 sekali lagi menganjurkan program Umrah Bersamamu 2017 bagi tahun yang keempat.

Program mengetengahkan kisah kesusahan masyarakat itu kali ini membawa kira-kira 35 jemaah termasuk kru penerbitan dan pengiring serta jemaah jemputan yang ditaja seorang dermawan.


Mereka yang terpilih berasal dari Sabah, Kelantan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Penerbit Eksekutifnya, Mazlin Nordin berkata, dermawan yang tampil memberi sumbangan itu enggan dikenali.

“Syukur tajaannya berjaya membawa 22 jemaah yang terdiri daripada keluarga Bersamamu untuk menjejakkan kaki di Makkah.

“Tajaan ini juga sebagai tanda penghargaan kepada jemaah atas inisiatif mereka selepas dibantu Bersamamu untuk memperbaiki taraf hidup keluarga menjadi lebih baik,” katanya.

Mazlin berkata, pihaknya berharap segala urusan di Makkah berjalan lancar dan dipermudahkan.

Sepanjang 11 tahun Bersamamu bersiaran, lebih daripada 150 keluarga berjaya dibantu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Rombongan Umrah Bersamamu 2017 sudahpun berangkat ke Makkah, Ahad lalu dan akan berada di sana sehingga 23 Februari ini.

Seperti tahun lalu, Umrah Bersamamu 2017 turut membawa jemaah orang kurang upaya serta mengalami masalah kesihatan.

Lima daripada mereka akan menjalani rawatan dialisis kerana masalah komplikasi buah pinggang termasuk jemaah paling muda berusia 14 tahun yang perlu menjalani empat kali rawatan dialisis sepanjang menunaikan umrah nanti.

Umrah Bersamamu 2017 diketuai Mazlin dan dibantu penolong penerbit Norsaliza Norasikin Mohd Yusoff, wartawan Teh Syuhaida Sharip, Nur Almaz Mohd Yamin dan jurukamera Wan Amran Wan Berahim.

Penggambaran perjalanan umrah ini akan ditayangkan sebanyak empat episod sepanjang Ramadan menerusi slot Bersamamu Penuhi Impian.