UMNO Tidak Kompromi Isu Rasuah, Tangkapan SPRM Bukan Kerana Agenda PRU 14

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu yang terbabit dalam kes rasuah berprofil tinggi tidak ada kaitan dengan Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.


Katanya, tindakan menahan mereka yang dikatakan  terbabit rasuah bukan agenda politik UMNO untuk mempopularkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sepertimana dakwaan pembangkang.


“Saya amat kesal ada tuduhan kononnya SPRM memburu pelaku rasuah atas arahan Najib kerana PRU semakin hampir, ini dakwaan mengarut,” tegasnya.


Beliau menolak tohmohan pihak pembangkang kononnya SPRM mula ‘mengganas’ terhadap pelaku rasuah sebagai kempen pilihan raya untuk mengambil hati rakyat.


“Tuduhan sedemikian adalah tidak berasas, SPRM tidak ada kaitan dengan politik, apatah lagi sebagai alat UMNO untuk menarik undi,” katanya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.


Sebaliknya tegas beliau, UMNO sebagai tunggak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit perbuatan rasuah.


“UMNO sentiasa bersifat terbuka dan akan bekerjasama dengan kerajaan termasuk SPRM untuk membanteras gejala rasuah,” ujarnya.


Menurut beliau, SPRM menjalankan tugas selari dengan peranannya sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang yang dipertanggungjawabkan membenteras kegiatan rasuah di negara ini.


Syed Ali menyelar andaian pihak tertentu kononnnya SPRM sekadar ‘bermain wayang’ menahan beberapa tokoh yang dikatakan melakukan amalan rasuah terutama membabitkan beberapa kementerian dan penjawat awam.


Beliau turut mempersoalkan bagaimana persepsi negatif itu dicanangkan pihak tertentu mempertikaikan peranan dan ketegasan SPRM.


“Jika SPRM tangkap pelaku rasuah termasuk kes berprofol tinggi, SPRM akan dituduh bermain wayang, jika SPRM tak buat kerja, dituduh pula sengaja menggalakkan rasuah, jadi yang mana betulnya,? soal beliau.


Oleh sebab itu katanya, SPRM tidak perlu tunduk kepada tekanan atau kecaman pihak berkepentingan dalam menjalankan tugas mereka.


Justeru, Syed Ali melahirkan rasa bangga di atas kecekapan dan ketegasan SPRM menangani gejala rasuah di negara ini dan mahu dipertingkatkan dengan mengheret pelaku rasuah ke muka pengadilan walaupun membabitkan  individu ternama atau pemimpin politik.


Katanya, mereka yang bersalah sama ada membabitkan pegawai tinggi kerajaan atau pemimpin politik perlu dikenakan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran.


“Rasuah adalah barah, jika dibiarkan membiak, akhirnya negara boleh runtuh dan rakyat hilang harga diri,” katanya.


Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan seterusnya menyelar pemimpin pembangkang yang mempersendakan amaran Perdana Menteri supaya penjawat awam menjauhi perbuatan rasuah.


Pembangkang ujar beliau, sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama dengan kerajaan untuk menangani masalah rasuah kerana gejala itu melingjkari kehidupan setiap manusia.


“Rasuah boleh berlaku di mana-mana, kemungkinan boleh terjadi kepada kakitangan kerajaan di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang,” tegasnya.