Tolak Pemimpin Utamakan Melayu, Islam – PKR

KUALA LUMPUR – Kaum bukan Melayu mahu Malaysia diperintah oleh pemimpin yang berfikiran menyeluruh tanpa mengira agama dan bangsa dalam aspek pemerintahnya.


Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gooi Hsiao Leung mendakwa, perkara itu yang gagal difahami oleh kerajaan Malaysia sedia ada.


“Bukan Melayu mahu pemimpin yang mempromosikan politik agama dan kaum secara inklusif,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.


Beliau berkata demikian bagi membantah kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman baru-baru ini bahawa DAP merupakan sebuah parti politik Kafir Harbi yang wajar ditolak umat Islam.


Mufti Pahang beberapa hari lalu tanpa berselindung dan secara terus terang menyatakan bahawa DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam tergolong dalam kalangan kafir harbi.



Malah, kata beliau, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.


Kenyataan Mufti Pahang tersebut menimbulkan kemarahan para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan termasuk parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN).


Mereka menganggap sebarang kenyataan yang melabelkan DAP dan para pemimpinnya sebagai kafir harbi merupakan pengganas Islam seperti kumpulan militan Islamic State (IS). – Mynewshub.cc