Tiada dua kumpulan dalam PAS - Timbalan Presiden


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan wujudnya dua kumpulan yang bertentangan dalam PAS berikutan isu kerjasama dan rundingan dengan beberapa pihak sebelum ini.

"Tidak ada dua kumpulan. Ini persepsi yang sengaja dibuat oleh para wartawan," katanya ringkas menempelak beberapa soalan berbentuk provokasi oleh wartawan media arus perdana ketika sidang media di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM) dekat sini hari ini.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa apa yang dibuat sebelum ini hanya pertemuan rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan keputusan mengenai rundingan diserahkan kepada PAS Pusat.

Beliau juga sebelum ini turut menegaskan PAS mengambil keputusan untuk tiada hubungan dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN.

Pendirian itu selari dengan apa yang digariskan parti dan ketegasan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 17/2/2017