Tiada Alasan Sibuk, Ini 5 Sebab Ibu Ayah Mesti Kerap Berbual Dengan Anak





Bila sudah ada anak, tentu anda seronok memerhatikan gelagat dan proses tumbesaran mereka setiap saat. Setuju kan?



Ketika anak masih bayi, ibu bapa sibuk merakamkan setiap 'kepandaian' barunya. Kalau boleh setiap saat nak rekod video dan gambar anak. Tapi lama-kelamaan semakin anak membesar, kita pun sibuk dengan urusan sendiri dan akhirnya kita 'rimas' hendak melayan pertanyaan anak.



Ada kalanya bila terlalu sibuk dengan urusan kerja, kita marah pula anak bila dia banyak bertanya. Kita terlupa, satu masa dulu anak inilah yang kita perhatian setiap saat. Kita terlupa anak-anak yang sedang membesar memerlukan bantuan daripada ibu ayah untuk mereka melalui fasa pembelajaran.



Bersembanglah selalu dengan anak anda kerana masa tidak akan berputar lagi. Jangan sampai esok waktu hendak berbual dengan mereka, anak-anak sudah jauh meninggalkan anda.



Kenapa ibu dan ayah kena selalu berbual dengan anak?



1. Meningkatkan penguasaan kosa kata



Anak yang selalu dilayan bersembang dari usia bayi akan lebih cepat bercakap pada awal usia. Bukankah otak bayi pantas merakam dan merekod apa yang didengar dan diperhatikan. Jadi, rajin-rajinlah bersembang dengan anak.



2. Boleh membantutkan proses pembelajaran



Bila anak anda sudah pandai bercakap dan mula banyak bertanya, jangan sekali-kali menyekat mereka bercakap dengan menyuruhnya "Diam!". Ia hanya akan membuatkan keinginan mereka untuk bertanya banyak perkara terbantut. Akhirnya mereka pun malas nak bertanya sebab takut kena marah. Kesannya bila bersekolah, mereka malu nak bertanya sebab kurang keyakinan diri dan takut untuk bercakap atau memberi pendapat.



3. Boleh jadi punca 'Speech Delay'



Bayangkan kalau si kecil membesar di rumah yang tiada suasana ibu bapa berbual dan bertanya banyak soalan. Sebaliknya balik dari kerja ibu dan ayah sibuk lagi melihat 'handphone' masing-masing. Akibatnya anak juga akan menjadi pendiam dan mungkin mengalami masalah Speech Delay kerana kurangnya pendedahan kepada kemahiran berkomunikasi.





4. Elak cakap kasar dan kesat



Kadangkala kita terkejut bila dengar ada anak kecil bercakap kasar dan mencarut. Sebenarnya ia bukan salah mereka 100%. Anak kecil belum cukup akal untuk membezakan apa yang baik dan buruk. Mungkin mereka belajar perkara itu daripada persekitaran termasuk ibu ayah (terlepas cakap), terdengar dari orang sekeliling atau melalui media. Sebab itu pentingnya ibu dan ayah sentiasa bersembang dengan anak supaya dapat menasihatkan dan membetulkan kesilapan anak. Terangkan serta-merta pada anak supaya jangan ulang sebut lagi perkataan yang tidak elok.



5. Elak anak cakap pelat



Kalau bukan ibu ayah yang mengajar anak, siapa lagi? Anak kecil memang akan bercakap pelat pada awal pembelajarannya. Jangan biarkan atau ketawa mendengar dia bercakap pelat. Terus betulkan serta-merta. Walaupun pada mulanya, sukar untuk anak bercakap perkataan itu dengan betul tetapi jika kerap membetulkannya lama-kelamaan lidahnya juga boleh bertutur dengan betul.



Percayalah, seronok bila anda melayan anak kecil bercakap. Mereka penuh dengan imaginasi dan celoteh. Walaupun ada kalanya anda tidak faham apa yang mereka cakapkan, layanlah mereka dengan senyuman. Ia membantu menghilangkan tekanan anda seharian bekerja di pejabat.



Sebenarnya setelah seharian bekerja dan mengharungi 'jammed' di jalan raya, bila sudah sampai ke rumah siapa yang anda hendak hadap dulu? Anak-anak atau 'smartphone'? Tepuk dada, tanya diri sendiri.



Info: Facebook Ibu Bapa Prihatin




Layari laman web