[TheSkop Raya] Etika teknologi bila beraya

Beraya memang seronok, tambah lagi bila dapat cuti panjang dan peluang bertemu ramai saudara dan kenalan. TheSkop ingin cadangankan beberapa etika teknologi yang diharap dapat mengindahkan lagi penghujung Ramadan dan Syawal anda:


 


1. Berhenti sebelum buat tetapan


Sebelum memandu, kalau nak tetapkan destinasi di navigasi Waze atau Google Maps, buatlah ketika kenderaan tidak bergerak. Bukan saja anda dapat fokus pada pencarian alamat dalam aplikasi, ia juga membantu mengurangkan penggunaan bateri sebab taklah tercungap-cungap telefon nak kesan kedudukan anda. Yang penting, SELAMAT!



 


2. Salam sebelum swafoto


Bila bertemu, janganlah asyik nak berselfie je. Bersalam dan bertanyalah khabar dulu, kemudian baru tangkap gambar, swafoto dan bergosip. Lagipun wajah tampak lebih ceria selepas anda dan rakan berbual dan bergelak ketawa beberapa kali mengenangkan telatah zaman dahulu.



 


3. Dulukan perut sebelum Instagram


Waktu makan pula, tak perlulah nak ambil gambar semua juadah yang ada dan terus muat naik di Instagram. Cukuplah sekadar juadah yang jarang benar dijumpa. Kemudian, tak perlulah lama-lama menggayakan flat lay di meja makan. Orang lain lapar, OK? Kalau nak tambah-nilai pada posting anda, hashtag saja nama juadah dan klik butang POST. Cepat dan mudah.



 


4. Gunakan buku telefon


Kalau berjumpa kenalan yang jarang sekali bersua, ambillah peluang menyimpan nombor telefon atau akaun media sosial: Facebook, Twitter dan Instagram. Tapi, kalau ada yang keberatan nak memasukkan nama anda dalam senarai akaun media sosial, janganlah terasa pula. Bukan setiap orang suka bersosial atas talian, hormatilah keputusannya. Lagipun bila ada nombor telefon, harapnya selalulah berhubung one-on-one dan bersua muka.



 


5. Tanya dulu jangan paksa masuk


Mungkin anda dan dia sama sekolah, sama tingkatan malah sekelas; tapi dia tak ada dalam kumpulan Whatsapp kelas anda yang selalu kecoh bersembang. Jangan terus masukkan nombornya ke dalam grup, kerana anda baru menerima nombor telefonnya. Sebaiknya tanya dulu empunya badan, mahu turut serta bersembang atau tidak. Bukan apa, sesetengah pengguna Whatsapp sudah ada terlalu banyak grup yang disertai, entah-entah dia bosan melihatnya. Rugi saja menambah masuk dia kalau dia cuma akan tekan pilihan ‘Mute for One Year‘ nanti.



 


Semoga Hari Raya anda akan lebih ceria di samping keluarga, sahabat handai dan telefon pintar.


The post [TheSkop Raya] Etika teknologi bila beraya appeared first on TheSkop.