Terpaksa Tolak Permintaan Tayang Badan

Alasan kenapa pelakon bertubuh sasa, Kim Woo Bin tidak mahu mempamerkan badannya ketika di acara bertemu peminat yang diadakan di Taiwan baru-baru ini bukan saja mengejutkan malah telah menimbulkan kerisauan kalangan para peminatnya.

Pada Sabtu lalu, di hadapan peminat-peminat Taiwan, model-aktor ini akhirnya terpaksa mendedahkan dia sebenarnya memakai pendakap belakang selepas mengalami sakit belakang, sejak kebelakangan ini.

"Saya mengalami kecederaan belakang gara-gara terlebih bersenam, jadi sekarang saya sedang memakai pendakap belakang," kata hero drama Uncontrollably Fond ini yan turut mengakui sukar membongkokkan badan.

Sementara itu, sebagai meredakan kebimbangan peminat, agensi Kim Woo Bin iaitu SidusHQ, menerusi satu kenyataan rasmi memaklumkan kekasih kepada aktres Shin Min Ah itu tidak mengalami kecederaan yang serius. Sebaliknya, dia kini dalam proses pemulihan

"Kim Woo Bin kini sedang menjalani rawatan sakit belakang. Ia tidak serius. Dia berasa sakit belakang ketika baru mendapat kecederaan tersebut, tetapi sekarang dia sudah semakin pulih," jelas agensi berkenaan.