Tengku Amir Cadang Rombak Semua Jawatan FAS, Hadkan Tempoh Presiden

  • Print
  • Email
Details

Published on Thursday, 16 February 2017 08:58

KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyarankan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) agar melakukan rombakan drastik selain mengemukakan tujuh langkah pembaharuan, termasuk mengehadkan tempoh menjawat jawatan Presiden kepada hanya dua penggal sebagai langkah penambahbaikan.

Tengku Amir menerusi laman Instagramnya @rmselangor memberitahu, rombakan itu perlu dilakukan untuk mewujudkan barisan pengurusan cekap yang meletakkan pembangunan bola sepak mengatasi kepentingan peribadi individu-individu tertentu.

Antara cadangan yang diutarakan Tengku Amir termasuk jawatan Presiden tidak boleh dipegang melebihi dua penggal dan individu yang ingin menduduki kerusi itu tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik.

“Empat ahli Exco kanan dan Setiausaha Agung mesti dilantik oleh Presiden FAS dan jawatan itu tidak boleh dipegang oleh individu sama lebih daripada dua penggal berturut-turut.

“Barisan Exco yang akan dipilih dalam EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa), 60 peratus daripada mereka perlu dibarisi muka-muka baharu dan ahli jawatankuasa baharu perlu memberikan komitmen sepenuhnya selain perlu memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“Bagi jawatan Presiden, individu yang suka membuat kacau dan mengganggu ketenteraman orang ramai sama sekali tidak perlu mencalonkan diri mereka,” katanya.

Tengku Amir mahu Statut FAS dikemaskini dengan memberi lebih kuasa eksekutif kepada Presiden, meletakkan tempoh masa maksimum memegang jawatan selain portfolio ahli jawatankuasa lebih efektif berteraskan kepada petunjuk pretasi utama (KPI) agar memberi impak positif kepada bola sepak negeri.

Ahli gabungan turut disaran untuk menjadi lebih aktif dalam membantu pembangunan bola sepak negeri termasuk menyampaikan laporan berkala kepada FAS.

“Posisi kewangan yang mampan dan kukuh. Kesemua barisan kepimpinan FAS perlu bertanggungjawab memastikan keadaan kewangan menjadi kukuh dalam tempoh terdekat, ini termasuk tidak bergantung kepada pembiayaan berterusan daripada kerajaan negeri.

“FAS (juga) perlu bekerjasama dengan badan gabungan bagi mewujudkan lebih banyak kejohanan bola sepak di peringkat komuniti selain sektor awam dan swasta untuk menyumbang kepada pembangunan akar umbi di negeri Selangor,” katanya.

- Utusan Malaysia