Tangan kudung tidak menghalang Rusidah menjadi seorang jurufoto yang berjaya, keazaman wanita ini wajar dicontohi

Rusidah dilahirkan sihat dan normal. Namun, walaupun selepas kedua tangannya terpaksa dipotong sewaktu dia membesar, dia nekad untuk terus menjalani kehidupannya seperti biasa.



Setelah menamatkan pengajian sekolah menengahnya di wilayah Purworejo di Jawa Tengah, Indonesia, dia dimasukkan ke Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya, Dr. Suharso pada tahun 1989. Dalam tiga tahun dia berada di sana, Rusidah mempelajari seni fotografi.



Setelah itu, Rusidah memutuskan untuk pulang ke kampungnya, Kampung Botorejo, di daerah Bayan, dan mula bekerja sebagai seorang jurufoto bebas.



Dia menggunakan kamera yang diolah khas dan sering diminta untuk mengambil gambar di majlis perkahwinan atau majlis anjuran kerajaan.



Melalui kemahiran fotografinya, isteri kepada Presiden Indonesia pada masa itu, Ani Yudhoyono, menjemput Rusidah menghadiri sebuah pameran di Galeri Nasional di Jakarta pada tahun 2011. Rusidah juga ditampilkan di halaman depan majalah selain dijemput untuk ditemu bual di rancangan televisyen di sana.



Teknologi memainkan peranan penting dalam hidup Rusidah. Tatkala ramai yang mengambil gambar menggunakan telefon pintar masing-masing hari ini, namun masih ramai lagi yang menghubungi Rusidah untuk menggunakan khidmatnya.



Pada 21 Disember 2016, Rusidah berkunjung ke Dewan Kabupaten Purworejo ditemani kamera DSLR dan mesin cetaknya. Di sana ada sebuah pertandingan gubahan bunga yang dianjurkan.



Rusidah mula mengambil gambar para peserta dan pengunjung di sana. Pihak penganjur menawarkan bayaran RM6 untuk sekeping gambar bersaiz poskad.


Malangnya pada hari itu mesin cetaknya rosak dan dia terpaksa mencetak gambarnya di sebuah kedai berhampiran. Namun begitu, dia tetap berasa bersyukur.


“Alhamdulillah, Dia telah memberikan kurniaan yang sangat banyak pada saya hari ini,” katanya.



Tekad dan sifat bersyukur Rusidah ini sangat wajar dicontohi kita semua. Semoga kerjayanya terus maju!


Sumber: The Jakarta Post



The post Tangan kudung tidak menghalang Rusidah menjadi seorang jurufoto yang berjaya, keazaman wanita ini wajar dicontohi appeared first on Era Baru Malaysia.