Takziah Buat Seluruh Keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bersama dengan seluruh ahli UMNO mengucapkan takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang kembalinya ke rahmatullah hari ini.


Allahyarham Tan Sri Adenan meninggal dunia di Kuching pada usia 72 tahun.


Beliau diangkat sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014 menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang melepaskan jawatannya pada 11 Februari.


Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memulakan kerjaya politiknya pada 1979 apabila beliau bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Muara Tuang dalam satu pilihan raya kecil.


Beliau mengekalkan kerusi DUN Muara Tuang dalam enam pilihan raya negeri berikutnya sebelum bertanding dalam bagi kerusi Batang Sadong kemudiannya.


Bapa kepada lima orang anak ini mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik – memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979.


Pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Kerajaan Pusat dari Mac 2004 hingga Februari 2006.


Beliau yang menerima pendidikan undang-undang di Australia pernah bertugas sebagai pentadbir dan pengamal undang-undang, dan dilantik sebagai pendakwa raya seawal tahun 1969 di Pejabat Pendakwa Raya Adelaide selain pernah berkhidmat sebagai majistret dari 1971 hingga 1972.


Adenan menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1975 dan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Sarawak pada 1 Februari 1999 selepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan itu.


Justeru, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah ke atas Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman – Al-Fatihah. – MediaUMNO