Takut Kembali Intim Selepas Bersalin? 4 Perkara Ini Bantu Hubungan Kelamin Lebih Lancar





Segelintir wanita seriau untuk melakukan hubungan intim selepas bersalin. Ada yang bimbang tentang luka jahitan. Ada juga yang risau hamil lagi tanpa perancangan.



1. Elakkan hubungan semasa berpantang



Tempoh dan kaedah berpantang adalah sesuatu yang subjektif. Ia berbeza mengikut kaum, individu dan tradisi masing-masing. Secara dasarnya sewaktu dalam tempoh berpantang, anda berdua tidak digalakkan melakukan hubungan seks bagi menjamin kesihatan yang optimum. Luka jahitan episiotomi dan keanjalan faraj sudah tentu mengambil masa yang agak panjang untuk sembuh. Faraj yang kering, kesan daripada perubahan hormon penyusuan juga boleh menjadi faktor ketidakselesaan untuk mula bersama.  



2. Lepas habis nifas



Waktu yang selamat untuk melakukan hubungan seks baik bagi ibu yang bersalin secara normal atau pembedahan adalah sama. 80% daripadanya memulakan hubungan intim pertama hanya selepas tiga bulan melahirkan. Sebaik-baiknya, ia dilakukan apabila anda berdua sudah bersedia secara mental dan fizikal. Namun dinasihatkan agar lebih baik menunggu sehingga darah nifas berhenti. Hal ini bagi menjamin luka di rahim benar-benar sembuh dan dapat mengelakkan sebarang jangkitan.



3. Pemeriksaan pastikan luka sembuh



Tiada beza, seks selepas bersalin bagi anda yang bersalin secara normal atau pembedahan. Apa yang membezakannya adalah kaedah yang mungkin perlu digunapakai untuk meminimumkan kesakitan dan meningkatkan keselesaan serta keyakinan diri si isteri. Dalam hal ini terdapat wanita yang fobia melakukan seks terutamanya selepas melahirkan anak pertama kerana bimbang keadaan jahitan (bersalin secara normal) terbuka. Jika anda bimbangkan kesan jahitan itu, sebaik-baiknya buat pemeriksaan untuk memastikan luka tersebut sembuh sepenuhnya.



4. Jaga pemakanan



Rasa sakit dan luka jahitan menyebabkan wanita takut untuk melakukan seks. Luka kesan jahitan episiotomi, luka dari kesan pembedahan, luka akibat penggunaan alat bantuan kelahiran (vakum dan forsep) sembuh seawal sepuluh hari ke dua minggu. Namun begitu, lebih masa mungkin diperlukan bagi individu  mempunyai tahap kesihatan yang lemah. Bagi memastikan luka lebih cepat sembuh dan kembali kepada keadaan seperti sedia kala, Anda perlu amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Pastikan cukup air, serat, protein, mineral, vitamin dan karbohidat. Ia penting bagi proses penyembuhan awal.




Layari laman web