Taktik sorok ganja mampat terbongkar

SEREMBAN, 19 Feb – Taktik tiga lelaki dipercayai pengedar dadah menyembunyikan dua ketul mampat ganja di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan dalam kereta yang dinaiki, mengundang padah apabila ia ditemukan polis dalam sekatan jalan raya yang dilancarkan  awal pagi, semalam.


Ketiga-tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Accord tersebut ditahan kira-kira jam 1.45 pagi, ketika polis melakukan sekatan jalan raya  di Jalan Seremban – Tampin.



Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Thiew Hock Poh berkata, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kereta yang dinaiki ketiga-tiga lelaki tersebut, polis telah menjumpai bungkusan plastik berisi dua ketul mampat disyaki dadah jenis ganja seberat dua  kilogram (kg) yang diletakkan dibawah tempat duduk penumpang hadapan.





“Polis turut menemui alat timbang, pemotong ganja, plastik beg dan satu papan dipercayai untuk memotong ganja.



“Kesemua rampasan ini kita anggarkan bernilai RM4,000 mengikut kepada pasaran semasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.


Menurut Hock Poh, daripada pemeriksaan lanjut, polis percaya dadah ini cuba dibawa masuk ke daerah Seremban, bagaimanapun polis berjaya membuat tangkapan ke atas mereka.


“Kesemua lelaki yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 32 tahun itu dipercayai aktif melakukan aktiviti (pengedaran) ini sejak dua atau tiga bulan lalu.


“Mereka adalah orang tempatan berasal daripada daerah ini mengikut kepada rekod yang kita ada dan bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori.


“Polis turut akan membuat siasatan lanjut samada mereka terbabit dalam kongsi gelap ataupun tidak dan  kesemua mereka akan ditahan sehingga 22 Februari depan untuk tindakan susulan.


Katanya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.