Syukur Peminat Dah Mula Kenal

Pelakon Ben Amir, 27, bersyukur kerana kehadiran dalam industri seni kini mula disedari peminat lebih-lebih lagi sejak membintangi drama rantaian popular, Suri Hati Mr. Pilot pada tahun lalu.

Memetik laporan Kosmo! Ben berkata, meskipun sudah lebih lima tahun bergelar pelakon, dia tidak kisah lambat meraih populariti sebaliknya dia percaya kepada rezeki dan tidak berputus asa.

"Saya tidak kisah lambat popular kerana mereka terjun ke bidang lakonan terlebih dahulu. Bagi saya cepat atau lambat dikenali itu terpulang kepada rezeki masing-masing.

Walaupun belum popular, namun saya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Memadailah kehadiran dalam industri seni mula disedari peminat. Selepas ini saya harus bekerja lebih keras," katanya

Berkongsi tentang perkembangan terkini, Ben berkata jadualnya padat sehingga Oktober depan. Pada Mac nanti, dia akan berangkat ke Sepanyol untuk penggambaran drama Air Mata Di Matadori. Sekembalinya nanti, komitmen diberikan pula pada penggambaran Suri Hati Mr. Pilot Raya.

Selain itu, Ben juga mencuba nasib dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk kesihatan sendiri di bawah jenama Go-S.

Mengenai kisah peribadi, Ben mengaku sedang berkawan rapat dengan seseorang sejak hampir setahun. Bagaimanapun buat masa ini dia belum memikirkan tentang soal mahu berumah tangga.