Surat Terbuka Nurul Izzah Kepada PM: Mohon Pertimbang Tempatkan Anwar Di Hospital


  • Print

  • Email

Details

Published on Wednesday, 22 June 2016 21:47







Nurul Izzah berkata Anwar sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala sementara menunggu pembedahan -reverse shoulder replacement- untuk kesakitan otot bahu kanan akibat kemalangan 2 tahun lalu, dan melarat sehingga kerosakan otot. Nurul Izzah berkata Anwar sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala sementara menunggu pembedahan -reverse shoulder replacement- untuk kesakitan otot bahu kanan akibat kemalangan 2 tahun lalu, dan melarat sehingga kerosakan otot. KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan rayuan supaya ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempatkan di hospital sementara menunggu pembedahan otot bahu yang akan dilakukan pakar dari Georgetown University, Amerika Syarikat.


Dalam surat terbukanya kepada Najib, Nurul Izzah turut menyatakan kebimbangan kesihatan bekas ketua pembangkang itu semakin teruk.


“Saya kira Anwar yang juga merupakan bekas pegawai kerajaan kedua tertinggi di negara, sewajarnya mendapat layanan yang jauh lebih baik daripada mantan Menteri Besar Selangor (Dr Mohamad Khir Toyo) yang diberi kemudahan tahanan parol di rumah walaupun sabitan kurang setahun.


“Saya tidak boleh terus melihat kesihatan ayahanda (Anwar) terus merosot dengan tempat penahanan yang tidak sesuai dengan keperluan ayahanda,” katanya dalam surat tersebut.


Anwar, 69, kini menjalani tahun kedua hukuman penjara lima tahun, selepas disabitkan dengan kesalahan liwat pada Februari tahun lalu.


Nurul Izzah berkata ayahnya dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara drastik dan ia antara faktor beliau mengalami tekanan darah tinggi.


“Dari penjara ke mahkamah, penjara ke hospital, kemudian ke penjara lagi. Pastinya proses perpindahan ini akan menyebabkan tekanan darah menjadi tidak menentu,” katanya.


Minggu lalu, Anwar, yang pernah menjalani pembedahan sakit belakang di Jerman sejurus pembebasannya pada 2004, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas beliau mengadu sakit belakang kronik sebulan selepas beliau dirawat akibat tekanan darah tidak stabil.


Nurul Izzah berkata Anwar sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala sementara menunggu pembedahan “reverse shoulder replacement” untuk kesakitan otot bahu kanan akibat kemalangan 2 tahun lalu, dan melarat sehingga kerosakan otot.


Menurutnya, penahanan di dalam lokap tanpa katil pada bulan pertama Anwar di penjara menyebabkan kecederaan bahu beliau semakin runcing.


Sementara itu, isteri Anwar yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keadaan suaminya berada dalam keadaan tidak stabil ditambah sakit dibahagian bahu.


"Dia telah dibawa masuk balik ke penjara walaupun saya kira bahawa dia perlu pemantauan kerana tekanan darah dia memang amat mencabar. Sakit bahunya masih lagi dan sakit belakangnya berulang kembali.


"Namun disebabkan mungkin pihak penjara tidak mempunyai cukup kakitangan untuk dia dibawa balik," katanya ketika ditemui media di Georgetown, Pulau Pinang pada Rabu.


-Astro Awani