Suami Isteri Saman (JAWI) Kerana Membuat Serbuan Ketika Isterinya Dalam Berpakaian Tidak Lengkap.

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri mengemukakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan enam yang lain, kerana membuat serbuan serta menahan mereka secara salah atas dakwaan khalwat.

Mohd Ridhuan Giman, 34 dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan pegawai penguat kuasa JAWI Mohd Shiham Ramli dan Mohammad Izehar Md Amin; Ketua Pegawai Penguat kuasa JAWI; Ketua Pengarahnya; JAWI ; Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Mohd Ridhuan dan Siti Sarah berkata, mereka bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur dan pernikahan itu didaftarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Mereka mendakwa, pada jam 1.30 pagi, 8 Januari lalu defendan pertama dan kedua serta enam lagi pegawai penguat kuasa JAWI membuat serbuan di bilik sebuah hotel bajet tempat mereka menginap.

Plaintif pertama berkata, sebelum dapat membaca dengan jelas kad kuasa yang ditunjukkan, pegawai serbuan meluru ke dalam bilik walaupun sudah dimaklumkan bahawa isterinya berada dalam bilik tanpa berpakaian lengkap.

Pegawai lelaki itu didakwa plaintif pertama melihat isterinya berada dalam berpakaian tidak lengkap, kemudiannya mengambil gambar serta video, menyebabkan berlaku pergelutan antara beliau (suami) dan pegawai serbuan.

Katanya, walaupun sudah ditunjukkan foto sijil nikah dan gambar perkahwinan yang tersimpan dalam telefon bimbitnya (plaintif pertama) sebagai bukti sah status perkahwinan, pegawai serbuan enggan menerima pakai bukti itu dan berkeras hendak menahan mereka.

Dakwa plaintif, mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee bagi laporan tangkapan atas dakwaan berkhalwat sebelum dibawa ke pejabat JAWI.

Mereka mendakwa, kemudian dibebaskan selepas ibu kepada plaintif pertama menandatangani Bon Diri bagi menjamin kehadiran untuk siasatan lanjut.

Berikutan itu, mereka menuntut perisytiharan tangkapan itu adalah salah, tidak sah dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan serta Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan perisytiharan ia menceroboh privasi serta salah guna kuasa, selain menuntut ganti rugi.-Berita Harian Online