Suami Isteri Parah Ditetak

  • Print
  • Email
Details

Published on Friday, 17 February 2017 15:46

Foto: BHFoto: BH

PENDANG: Seorang lelaki dipercayai menetak abang dan kakak iparnya dalam kejadian di FELDA Sungai Tiang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Muhamad Yusob Abdullah, 55, dan Zaiton Mohamad Salleh, 52, berada di rumah bersama tiga anak perempuan mereka berusia antara 20 hingga 25 tahun serta seorang cucu perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Mohd Nashir Ya, berkata suspek yang bersenjatakan parang dikatakan menyerbu kediaman berkenaan sebelum menyerang pasangan suami isteri terbabit.

"Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dikatakan cuba menyerang anak mangsa tetapi ketiga-tiganya sempat melarikan diri.

"Susulan kejadian itu, kedua-dua mangsa yang ditetak cedera parah di kepala dan tangan. "Malah, tangan seorang daripada mangsa dilaporkan hampir putus.

"Mereka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Nashir berkata, suspek berusia 43 tahun itu melarikan diri sejurus kejadian sebelum ditahan polis di sebuah rumah di kawasan sama kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Katanya, punca kejadian masih disiasat dan polis percaya ia mempunyai kaitan dengan perselisihan faham keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.


- Berita Harian