Solat Bentuk Anak Berperibadi Mulia. 15 Tip Ini Bantu Dia Cintai Solat





Solat itu tiang agama. Ia memberikan impak dalam kehidupan dan mampu menjadi benteng diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Ibadah solat yang menjadi rukun iman pertama ini sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Demikianlah pentingnya peranan solat dalam membentuk akhlak dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh itu, menjadi kewajipan ibu bapa untuk mendidik anak-anak mengerjakan solat dan menjadikan ibadah ini sebagai sebahagian daripada agenda harian.



1. Fokuskan minda anak pada ibadat solat sebulan sebelum mula mengajar dia solat. Pakaikan dia telekung dan biar dia ikut dengan caranya. Biarkan dia mengikut anda walaupun tunggang-langgang tidak mengikut urutan.



2. Usah paksa anak tetapi dorong dan tanamkan amalan ini di dalam jiwanya. Jika si manja masih bayi, letakkannya berdekatan dengan anda ketika solat. Mungkin dia akan mengacau tetapi sekurang-kurangnya dia melihat ibu dan bapanya bersolat dan hal ini boleh menimbulkan minat awal dalam dirinya.



3. Kebanyakan tadika berteraskan Islam mengajar asas solat seperti niat, tahiyat, iktidal, ruku’ dan lain-lain. Namun, ibu bapa memainkan peranan yang lebih besar dalam menerapkan budaya solat dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.



4. Ajar langkah demi langkah berwuduk dan lafaz niat dalam keadaan yang ceria dan menyeronokkan supaya si kecil mudah faham dan tidak tertekan.



5. Beritahu si manja bahawa Rasulullah SAW menyuruh anak-anak berlatih solat daripada umur tujuh tahun dan pada umur 10 tahun anak-anak boleh dirotan (sekadar untuk mengajar) jika engkar dan malas.



6. Belikan si cilik sejadah, telekung atau kopiah; jubah atau baju Melayu yang disukainya sebagai motivasi dan galakan supaya bersolat.



7. Biar dia  membaca bacaan solat kuat-kuat supaya kita boleh menegur dan memperbetulkan bacaannya pada waktu itu. Perhatikan pergerakan solatnya. Ajar cara betul untuk duduk, qiam, takbir, rukuk, sujud dan lain-lain.



8. Jangan mengehadkan tempat untuk anak berlatih memperbaiki bacaan solatnya. Uji kelancaran dan kefasihan anak pada bila-bila masa sahaja.



9. Dorong anak dengan pujian jika semakin fasih membaca dan rajin solat. Beritahu bahawa dengan kefasihannya itu Allah SWT semakin sayang kepadanya.



10. Praktik solat berjemaah bersama-sama apabila ada kelapangan masa di rumah.



11. Bersabar melihat kerenah anak semasa peringkat awal mengajar mereka bersolat. Anak-anak mungkin menunjukkan kenakalan dan kesilapan.



12. Atur jadual hariannya supaya seimbang dengan ada waktu untuk menonton TV, bermain, belajar dan solat.



13. Beritahu dia sifat Allah SWT adalah Maha Melihat dan Maha Mendengar. Jadi, nasihatkannya agar sentiasa bercakap perkara yang benar mengenai solat yang dilakukan.



14. Mula bawa bersama telekung (untuk anak perempuan) apabila pergi ke mana-mana.



15. Ibu bapa adalah contoh terdekat yang perlu menunjukkan solat yang betul dan pada awal waktu kepada anak-anak.





 




Layari laman web