Siti Saleha dah nak kahwin

Pelakon popular Siti Saleha mengesahkan bakal berkahwin tahun ini namun belum bersedia berkongsi perincian majlis.

Saleha, 27, mengakui rancak melakukan persiapan kahwin dan masih berbincang dengan beberapa pihak.


"Persiapan sedang berjalan. Saya melakukannya sedikit demi sedikit. Sebagai contoh busana perkahwinan masih dalam proses perbincangan.

"Pada masa sama saya dan tunang masih mencari tarikh sesuai. Saya tak mahu beri tekanan kepadanya apatah lagi dia sibuk ke luar negara atas urusan kerja.

"Insya-Allah jika semuanya sudah selesai, saya sedia berkongsi. Jadi doakan saja segala perancangan berjalan lancar," katanya kepada Harian Metro.

Saleha yang juga pelakon drama 7 Hari Mencintaiku turut menjelaskan mahu menunaikan impian menjelajah ke beberapa negara Eropah selama tiga minggu pada Mei ini.

Pendedahan itu sekali gus memberi bayangan Saleha dan tunang bakal melangsungkan perkahwinan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Terdahulu Saleha dan kekasih hatinya, Lutfi Azhar, 31, mengikat tali pertunangan pada 26 November lalu di kediaman keluarganya di Bandar Puteri, di sini.