Shiha Terkejut Kekasih Lamar Secara Mengejut

Bercinta hampir tujuh tahun akhirnya Shiha Zikir atau nama sebenarnya Nurshiha Muhd Zikir, 29, dilamar secara mengejut oleh kekasihnya Arul.

Situasi ini berlaku apabila Kakigosip bertanyakan soalan sejauh manakah hubungan cinta mereka dan bilakah akan menamatkan zaman solo?

Walaupun soalan tersebut secara tiba-tiba, Arul yang juga merangkap sebagai pengurus peribadinya, dengan berani tampil memberitahu dia merancang untuk memperisterikan Shiha pada penghujung tahun ini.

"Kalau tiada halangan, kenapa tidak hujung tahun ini. Walau bagaimanapun ini baru perancangan sahaja. Kami pun sudah mengenali hati budi masing-masing sebelum Shiha bergelar artis lagi, jadi rasanya tiada masalah untuk memahami kerjayanya sebagai seorang penyanyi," kata Arul.

Sementara itu, Shiha yang terkejut namun tersenyum apabila Arul melafazkan hasrat hatinya itu.  Shiha juga menarik nafas lega apabila mendengarkan kata-kata daripada kekasihnya.

Amboi Shiha teruja betul ya, dah lama tunggu lamaran ke tu?

"Hubungan kami berdua sudah memasuki tujuh tahun. Arul selalu juga menemani saya ketika bekerja, namun sejak bergerak sendiri tanpa label syarikat rakaman, saya selesa dan berikan amanah sepenuhnya kepada dia untuk menguruskan hal karier. Malah keluarga pun selesa dengan kehadirannya dan sudah boleh bergurau-senda," ujar Shiha pula.

Dalam perkembangan terbaru, pada Mac depan Shiha akan memulakan rakaman single terbaru genre pop dangdut. Insya-Allah semoga segala perancangan yang baik buat Shiha.