Semua plaza Lebuhraya Utara-Selatan tol guna kad elektronik mulai 26 April 2017

PLUS Malaysia mengumumkan bahawa semua transaksi tol di 71 buah lagi plaza tol di Lebuhraya utara-Selatan di antara Juru dan Skudai akan menggunakan kad elektronik 100 peratus mulai 26 April 2017.


Menurut Pengarah urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS bermula dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di selatan dikendalikan secara 100 peratus elektronik.


“Ini termasuklah transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), ELITE, NKVE, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua,” terang beliau.


“Ini bermakna, bermula pada 26 April yang akan datang, tiada lagi transaksi secara tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuh raya PLUS perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG,” jelas Azman.


Sebenarnya, 87 peratus daripada keseluruhan pengguna lebuhraya PLUS memang sudah pun menggunakan bayaran tol secara elektronik.


Transaksi tol secara elektronik adalah jauh lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran tol secara tunai di mana lorong SmartTAG dan Touch ‘n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam.


Manakala Lorong Tunai Keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama.


Pelaksanaan transaksi tol 100 peratus elektronik ini juga membolehkan pemegang kad elektronik, khususnya kad PLUSMiles menikmati rebat tol sebanyak 5 peratus apabila menggunakan kad tersebut untuk membayar tol sebanyak RM100 setiap bulan.


PLUS juga menasihatkan supaya pemegang kad PLUSMiles yang sedia ada supaya menebus rebat tol mereka di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS.


Kad PLUSMiles boleh diperolehi di semua pusat khidmat pelanggan di sepanjang lebuh raya PLUS yang beroperasi bermula jam 7:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.


Kad PLUSMiles diterbitkan oleh PLUS tetapi anda masih boleh menggunakannya seperti kad Touch ‘n Go seperti di parkir kereta, sistem pengangkutan awam dan lain-lain lagi. Bezanya, kad Touch ‘n Go tidak memberikan rebat pulangan jika anda sering menggunakan lebuhraya PLUS.


Pada ketika ini, terdapat kira-kira 8,900 lokasi tambah nilai kad elektronik di seluruh negara. Ia termasuklah menerusi mesin-mesin ATM, kedai 24-jam dan serbaneka, pusat beli belah, stesen minyak dan lain-lain.