Saya tak kata 'nak kahwin'

Gara-gara artikel bertajuk 'Eizlan Yusof Bakal Berkahwin' disiarkan sebuah blog hiburan, pelakon Datuk Eizlan Yusof dihujani ucapan tahniah menerusi kiriman mesej.

Eizlan, 46, berkata dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan bakal berkahwin sebaliknya memaklumkan dia bersedia membuka hati untuk menerima pengganti bekas isterinya.


"Saya tak marah pun, cuma perkara ini agak melucukan. Apa tidaknya, tiba-tiba ramai sanak saudara dan rakan-rakan merakamkan ucapan tanniah. Saya terkejut kenapa mereka berbuat demikian.

"Rupa-rupanya ada artikel saya bakal berkahwin sedangkan ia tak berlaku pun seperti yang ditulis. Apa pun saya menganggap semua ucapan itu sebagai satu doa,” katanya kepada Harian Metro.

Eizlan yang juga pelakon filem Pak Pong bersedia berkongsi berita gembira itu sekiranya betul dia bakal berkahwin.

"Buat masa sekarang, belum ada calon. Selepas bercerai, saya lebih banyak berdiam diri dan tumpukan perhatian terhadap anak-anak. Tak terfikir langsung soal berkahwin lagi.

"Sekarang baru saya berani buka pintu hati dan berkenalan dengan orang lain. Pada masa sama saya juga lebih terbuka menghadiri sebarang acara jika dijemput. Dulu, saya lebih suka duduk di rumah,” katanya.