Saya Keluar kerana DAP bermasalah

Bekas pengerusi DAP Melaka, Sim Tong Hin menolak dakwaan beliau bersama 3 wakil rakyat yang keluar daripada parti itu, Ahad lalu, tidak setia, lapor The Star.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu menyasarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan peletakan jawatan mereka sebagai tindakan tidak setia kepada parti.
“Saya menyertai DAP sejak 1974 dan mereka yang mengkritik keputusan saya keluar parti patut meneliti diri sendiri dan tidak mengalihkan isu itu untuk menyembunyikan kelemahan dalam parti.
“Mereka (kepimpinan parti) perlu tanya diri sendiri mengapa seorang lelaki mahu bercerai selepas 43 tahun berkahwin,” katanya kepada akhbar itu semalam.

Ahad lalu, Sim bersama Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Kesidang, Chin Choon Seong dan Adun Duyong, Goh Leong San mengumumkan mereka keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Mereka turut menulis surat kepada Guan Eng bagi menyuarakan kekecewaan terhadap DAP yang menyimpang daripada matlamat sebenar.

Sim berkata, orang yang waras fikirannya tidak akan meletak jawatan selepas lebih 3 dekad menyertai sebuah parti tanpa alasan munasabah.
“Saya komited kepada perjuangan parti sebelum kepimpinan sekarang menyimpang daripada objektif terasnya.

“Kesetiaan dan komitmen saya adalah untuk parti dan saya bukan orang yang akan kow tow (tunduk) kepada pemimpin parti seolah-olah lupa matlamat sebenar mereka,” katanya sambil menambah beliau bertanding atas tiket DAP sejak 1982.
Sim dan Goh keluar daripada DAP beberapa hari selepas tamat tempoh penggantungan selama setahun sejak 7 Februari 2016.

Beliau terus mengecam kepimpinan DAP yang cuba menyalahkan sebarang isu dalam DAP Melaka kepadanya.
“Saya bimbang dengan pemimpin parti tertentu yang ingin menyembunyikan kebenaran dan cuba menyalahkan saya tidak setia.

“Sebelum ini, ia adalah salah untuk saya menyuarakan rasa tidak puas hati saya secara umum mengenai isu tertentu. Sekarang, saya tidak ada hak untuk meletak jawatan?” soal Sim.