SanDisk lancar kad mikroSD A1 pertama di dunia

SanDisk, pengeluar kad memori kilat terkemuka dunia di bawah Western Digital (WD), mengumumkan kad memori mikroSD yang menepati standard A1 yang ditetapkan persatuan SD. Standard A1 di kad mikroSD, memastikan pengalaman terbaik untuk kegunaan di telefon pintar.


Standard A1 adalah singkatan dari Application Performance Class 1 (Prestasi Aplikasi Kelas 1). Sejak pengenalan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow, ia membenarkan penggunaan kad memori mikroSD sebagai lokasi pemasangan aplikasi. Bermakna, aplikasi boleh dipasang dan dilancarkan terus dari kad mikroSD. Tetapi kemampuan kad mikroSD biasa, tidak mampu menggerakkan aplikasi dengan lancar.


Sebab itu Persatuan SD memperkenalkan standard A1, memastikan prestasi aplikasi di dalam mikroSD setanding dengan storan dalaman kilat. KadĀ mikroSD dengan standard A1 boleh menguruskan akses membaca input-output rawak (IOPS) sebanyak 1,500 dan keupayaan menulisĀ 500 IOPS.



SanDisk pula menjadi yang pertama memperkenalkan kad mikroSD berasaskan standard A1. Dari mata kasar, kad mikroSD ini tidak berbeza dengan kad memori lain. Tetapi, pastikan logo A1 terdapat pada kad mikroSD, untuk memastikan ia boleh berfungsi mengikut spesifikasi A1.


Kad memori mikroSD SanDisk Ultra A1 serasi digunakan bersama aplikasi SanDisk Memory Zone di Android. Ia memudahkan pengguna mengurus dan membuat salinan kandungan di dalam peranti. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Playstore.


Kepada yang berminat, kad memori mikroSD SanDisk Ultra A1 akan mula dijual di Malaysia pada 15 Februari 2017, di Stor Online SanDisk di Lazada, dengan harga RM1,099 bagi kapasiti 256GB. Lebih banyak produk SanDisk turut terdapat di stor online tersebut.


The post SanDisk lancar kad mikroSD A1 pertama di dunia appeared first on TheSkop.