Rogol Anak Tiri Sejak 2 Tahun Lalu


  • Print

  • Email

Details

Published on Thursday, 23 June 2016 12:55







BALING: Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun petang semalam kerana disyaki merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun sejak dua tahun lalu.


Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf, berkata suspek yang menetap di Kampung Sungai Limau, dekat Pulai ditahan kira-kira jam 5 petang di rumahnya, susulan laporan polis dibuat ibu mangsa.


Terdahulu, katanya, mangsa yang belajar di sebuah sekolah menengah agama dekat sini mengadu kepada guru sekolahnya mengenai perlakuan suspek yang memaksanya melakukan hubungan seks sejak berusia 11 tahun.


"Selepas diberi kaunseling dan nasihat, mangsa mengadu kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat.


"Kejadian ini sudah berlarutan dua tahun dan mujur mangsa berani tampil membuat aduan hingga membawa kepada penahanan suspek.


"Polis sudah mengambil keterangan mangsa yang turut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk menjalani pemeriksaan," katanya.


Shariffuddin berkata, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah direman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan.



- Berita Harian