River of Life

Sebilangan besar bandaraya yang berdaya huni yang menduduki tempat teratas mempunyai tepian air atau sungai yang dimanfaatkan untuk tarikan ekonomi atau daya boleh huni. Contohnya di London terdapat Thames River, di Sydney ada Circular Quay, dan di Korea Selatan ada Cheonggyecheon River.


Jika kita ke kota London, kita dapat lihat bahawa pembangunan di sekitar Thames River berjaya menghasilkan pelbagai aktiviti ekonomi baik daripada penduduk tempatan atau pelancong asing. Di sini ada tarikan seperti London Eye, kapal persiaran, restoran dan hotel terkemuka dengan industri perkhidmatan yang terkenal, malah ada ramai yang mengambil peluang untuk bersantai dan ada juga yang memilih untuk beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan.


Dilihat pula New York, Geneva, Vancouver dan Auckland, semuanya adalah bandar-bandar dengan pembangunan sekitar perairan yang terkenal dan mempunyai daya huni yang tinggi.


Malaysia juga sebenarnya tidak ketinggalan. Kita dirahmati Allah SWT dengan alam semula jadi yang indah, diselutupi dengan hutan hujan tropika yang mempunyai pelbagai flora dan fauna serta perairan yang cantik. Namun demikian, ada sesetengah perkara yang mungkin telah mengalami perubahan dan perlu kita beri perhatian serta tambah baik seiring dengan pembangunan negara, agar dapat dimanfaatkan semula oleh masyarakat tempatan selain menjadi daya tarikan kepada pelancong.


Sehubungan dengan itu, apabila saya mengambil alih tampuk pentadbiran, salah satu visi saya adalah untuk melihat potensi bandaraya Kuala Lumpur direalisasikan melalui program-program transformasi yang dijalankan. Ini bermula dengan projek menaiktaraf Terminal Bas Puduraya yang dulu keadaannya sangat daif kepada terminal bas yang moden dan selesa pada tahun 2011. Selain itu, pelbagai projek mesra rakyat seperti UTC, pembinaan “Elevated Pedestrian Walkway” dari Pavilion/Bukit Bintang ke KLCC, projek baikpulih hospital Kuala Lumpur dan lain lain, turut dilaksanakan untuk menambahbaik keselesaan dan kemudahan rakyat. Dengan siapnya projek MRT, dan pembinaan projek MRT 2 dan LRT 3, lanskap Kuala Lumpur akan ditransformasikan kepada bandaraya yang maju, dan mempunyai jalinan yang komprehensif.


Projek River of Life (ROL) juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk mentransformasi lanskap bandaraya Kuala Lumpur untuk menjadi bandaraya yang berdaya huni tinggi dan penduduknya mempunyai kualiti hidup tinggi.


sungai


Di bawah Projek ROL, Sungai Gombak dan Sungai Klang akan dibersihkan dan diberi nafas baru sebagai Pusat Warisan dan Komersial bagi Greater Kuala Lumpur yang bakal meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar dan merancakkan ekonomi setempat selain menjadi tarikan pelancong, lantas membawa manfaat serta peningkatan pendapatan kepada penduduk terutamanya melalui industri-industri sokongan.


Saya percaya melalui Projek ROL, potensi bandaraya Kuala Lumpur bakal direalisasikan apabila aset sungai yang wujud dapat digunakan secara optimum dan pada masa yang sama, alam sekitar kita dapat dipelihara.


rolkl-2


Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan sepanjang 110km yang meliputi 8 sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.


Apabila Projek ROL dimulakan pada tahun 2011, kualiti air sungai adalah pada kelas III-IV (yang didefinisikan sebagai tidak selamat untuk sentuhan badan). Ini bakal berubah pada tahun 2020, di mana kualiti air akan ditambahbaik kepada Kelas IIB (yang didefinisikan sebagai lebih selamat untuk kegunaan rekreasi dengan sentuhan).


Saya diberitahu bahawa kerja-kerja pembersihan ini adalah 72% selesai. Saya tidak mahu mana-mana pihak leka dan mengambil sikap sambil lewa dalam menyempurnakan projek ini. Semua kerja mestilah disiapkan mengikut jadual menjelang tahun 2020, jika tidak lebih awal.


page_2


Bagi kerja-kerja pengindahan pula, 10.7km koridor sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak juga akan dicantikkan yang mana lokasi-lokasi seperti Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek, Brickfields dan lain-lain akan turut menerima manfaat ekonomi yang besar.


Ketika lawatan saya ke salah satu tapak pembangunan Projek ROL di Masjid Jamek petang tadi, saya difahamkan bahawa pada bulan April 2017 kelak, penduduk di sekitar Kuala Lumpur boleh mula beriadah dengan berjalan kaki atau berbasikal di sepanjang jajaran sungai di kawasan sekitar Gereja St Mary, Panggung Bandaraya, Masjid Jamek, Lebuh Pasar Besar, Bangunan Sultan Abdul Samad, Pasar Seni dan Dayabumi.


Satu perkembangan yang baik buat Kuala Lumpur.


rolkl-1


Kawasan Masjid Jamek ini juga merupakan satu kawasan yang amat istimewa buat bandaraya Kuala Lumpur kerana di sinilah lahirnya bandar kita menerusi pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.


Secara keseluruhannya, Projek ROL ini akan siap sepenuhnya pada tahun 2020 dengan bajet pembangunan sebanyak RM4.4 bilion dan sukacita saya maklumkan bahawa tahap kemajuan projek adalah pada kadar 64% selesai.


Projek ROL adalah projek yang berimpak tinggi. Dianggarkan bahawa sebanyak 27,500 peluang pekerjaan bakal wujud apabila projek ini siap sepenuhnya dengan peningkatan kegiatan ekonomi di sepanjang tepian sungai.


Saya yakin Projek ROL ini bakal menjadi lambang terbaru bagi bandaraya Kuala Lumpur dan Insya-Allah, apabila siap kelak, kualiti hidup penduduk Kuala Lumpur dapat ditingkatkan sekaligus melonjakkan Kuala Lumpur sebagai salah satu bandaraya kedudukan 20 teratas dalam kaji selidik Liveability Index EIU.


rolkl-4