Rindu bawa Sarimah kembali

KELIBAT figura ini di dalam industri seni tidak perlu diperkenalkan lagi. Anak kacukan Melayu-Irish yang berasal dari Dublin, Ireland ini mempunyai ramai peminat dari pelbagai bangsa.

Setelah beberapa tahun 'sepi' dari radar hiburan, Che Puan Sarimah Ibrahim kembali mewarnai industri seni tempatan. Lebih istimewa, wanita berusia 38 ini tampil dengan program bual bicara kelolaannya sendiri, The Sarimah Show.

Bakal bersiaran setiap Ahad bermula 5 Mac nanti di TV3, dengan rangkuman pelbagai segmen dan topik menarik turut menampilkan selebriti popular seperti Fasha Sandha, Neelofa, Alif Satar, Amy Mastura, Fattah Amin, Kris Dayanti dan ramai lagi.


"Sebenarnya dah lama saya impikan untuk mempunyai program talk show sendiri. Malah beberapa siri perbincangan juga pernah diadakan tapi tidak ada kata putus.

"Tapi Alhamdulillah mungkin kerana rezeki selepas kahwin, tawaran ini datang kepada saya.

"Walaupun saya tahu ada yang lebih layak mengendalikan program sendiri, tapi saya tidak tolak rezeki," ujarnya pada Media Hiburan.

The Sarimah Show akan bersiaran selama sejam bermula jam 11 malam, memberi peluang kepada Sarimah berinteraksi lebih dekat bersama penonton melalui segmen seperti Cer Cita?, Diari Sarimah, Ada Berani?, Ok Mari.. dan Kerusi Panas.

Jelas Sarimah lagi, keputusannya untuk kembali aktif mengacara juga dibuat atas permintaan ramai peminat di laman sosial.

"Ramai yang tanya saya, ke mana saya menghilang? Tidak dinafikan saya berehat seketika selepas mendirikan rumah tangga untuk memberi fokus kepada suami.

"Tapi sebelum itu saya masih ada, cuma fokus kepada program berbahasa Inggeris, termasuk menjadi penyampai Red Fm dan Mix Fm serta mengendalikan program Bella sebelum bercuti panjang.

"Oleh itu saya anggap The Sarimah Show ini sebagai platform untuk kenalkan diri semula," katanya yang bergelar isteri kepada cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 44, atau lebih dikenali dengan nama Tunku Jamie sejak 2 April 2015.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai program kendaliannya itu, Sarimah berkata, The Sarimah Show bakal menampilkan sisi berbeza Sarimah yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini.

Katanya, dia juga meminta penonton tidak menganggap talk show itu sebagai program komedi kerana tujuannya bukan hanya menghiburkan tetapi memberi inspirasi.  

"Harus diingat, talk show berbeza dengan program live show.

"Tapi apa yang boleh saya katakan program ini akan menampilkan sisi berbeza saya. Kalau boleh saya mahu jadi penghibur yang berjaya," katanya.

Tambah Sarimah, dia juga menjadikan program The Tonight Show With Jimmy Fallon sebagai inspirasi.

"Saya jadikan Jimmy Fallon sebagai rujukan. Tapi saya harap penonton tidaklah bandingkan kami kerana program seperti The Tonight Show, The Ellen DeGeneres Show mempunyai beratus krew.

"Bagaimanapun sekiranya ada yang melihat kesamaan itu dari sudut positif, saya rasa bersyukur sangat," jelasnya.

Sokongan suami dan keluarga

Sarimah tidak menafikan dia bertuah kerana suami dan keluarga begitu menyokong kariernya.

"Of course saya kembali atas restu mereka. Alhamdulillah suami juga sentiasa menemani sepanjang rakaman kerana saya tidak ada pengurus.

"Bahkan ketika mendapat tawaran, dia ada bertanya program ini macam mana dan bila saya jelaskan, dia juga suka," ujarnya.

Selain mengacara dia juga bersedia berlakon seandainya tawaran tersebut tidak bertembung dengan tugasan lain.

"Sebenarnya saya ada dapat tawaran berlakon filem bercorak kepolisan tapi terpaksa tolak kerana jadual penggambaran bertembung dengan penggambaran program ini.

"Saya pula jenis tak suka buat dua kerja dalam satu masa. Jadi kalau ada tawaran menarik selepas ini, saya bersedia menerima andai  berkelapangan," akhirinya.