Restoran Mamak minta dikecualikan GST: Minta menteri kawal harga air mineral, walaupun gst mansuh, harga air mineral tetap tinggi

Kerajaan digesa mempertimbangkan pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk semua restoran di luar hotel, termasuk restoran mamak bagi mengurangkan beban kewangan dan tekanan yang dihadapi pengguna.


 


Pengusaha restoran mamak mahu pengecualian GST

Pengusaha restoran mamak mahu pengecualian GST


Gesaan itu dibuat Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed, kerana kebanyakan pelanggan restoran di luar hotel seperti mamak sering dikunjungi golongan berpendapatan sederhana.


Jelasnya, pelaksanaan GST yang dikenakan ke atas harga makanan di restoran mamak tidak baik untuk kesihatan pelanggan kerana dasar itu menyebabkan mereka tertekan.


“Kita alu-alukan cadangan Kementerian Kesihatan untuk menghapuskan GST ke atas air mineral, tetapi kita juga harapkan kerajaan mengecualikan GST kepada restoran di luar hotel seperti restoran mamak, restoran masakan Malaysia yang lain, kerana ia akan membawa kegembiraan kepada rakyat, apabila mereka gembira mereka tidak tertekan dan itu juga baik untuk kesihatan.


“Sebab rata-rata pelanggan yang datang mereka tak berapa gembira bila ada GST di premis kami, sebab yang datang adalah golongan pertengahan dan bawah, mereka rasa terbeban dan tertekan bila harga (makanan) mahal disebabkan GST,” katanya ketika dihubungi FMT baru-baru ini.


Minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dilaporkan sebagai berkata, cadangan mengecualikan GST ke atas air mineral sebanyak 6% bertujuan menggalakkan orang ramai berhenti mengambil minuman bergula.


Cadangan itu turut disokong Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah yang mendakwa harga air mineral dijual di negara ini sama dengan harga satu liter petrol.


“Harga mineral sekarang masih tinggi, kenapa pihak KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) membiarkan perkara ini, saya setuju GST dimansuhkan tetapi walaupun GST dimansuhkan harga tetap tinggi.


“Sepatutnya, menteri yang mengawal turun naik harga barang perlu meletakkan air mineral di bawah jenis barang kawalan supaya tidak mahal dan dapat menarik orang ramai meminum air putih untuk kesihatan,” katanya kepada FMT.


 


Sumber: Free Malaysia Today