Reggae solo Alabbas

Sudah lama rasanya tak mendengar lagu berbahasa Melayu yang menampilkan rentak reggae.

Terbaru, muncul lagu berjudul Seperti Dia ciptaan sepenuhnya dan didendangkan oleh penyanyi, Alabbas.

Jika sebelum ini Alabbas bergerak secara duo dengan rakannya, Muariffah menerusi kumpulan Lawa Nie Geng, kini dia tampil solo dengan single pertama ini.

Apa yang boleh dikatakan, Seperti Dia adalah lagu untuk golongan muda yang sedang hangat bercinta dan mula menyunting rasa cinta dalam jiwa.

Bukanlah reggae sejati, tetapi Seperti Dia turut menyelitkan elemen R&B dan pop bagi disesuaikan dengan pasaran muzik tanah air.

Aliran muziknya ringan dan tidak bosan walaupun didengar berkali-kali. Mungkin kerana sudah lama rindu akan muzik sebegini dan mengimbau kenangan kepada lagu yang pernah dihasilkan beberapa tahun lalu oleh kumpulan Gerhana Ska Cinta.

Liriknya juga tak kurang hebat apabila bercerita mengenai seseorang yang ada dalam hidup dan tidak mungkin mampu ditukar ganti.

Namun, bagi Alabbas, dia tidak menjuruskan persepsi lagu ini kepada cinta kepada kekasih semata-mata, tetapi juga orang tersayang dalam hidup.

“Ketika menghasilkan lagu ini, saya hasilkannya secara umum. Saya yakin setiap daripada kita ada orang tersayang dalam hidup dan itulah yang cuba saya sampaikan dalam lagu Seperti Dia,” katanya.

Tempoh penghasilannya juga tidak memakan masa terlalu lama dan hanya mengambil masa sekitar satu dan dua bulan untuk disiapkan.

“Asalnya, saya hasilkan tiga draf untuk lagu ini dan apa yang dihasilkan sebagai karya adalah draf ketiga. Proses penciptaan memakan masa kira-kira satu ke dua bulan, manakala proses rakaman pula hanya mengambil masa satu hari,” katanya.

Tentunya, sebagai penyanyi dan komposer serta penulis lirik, Alabbas sentiasa mengharapkan agar lagu ini diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat.