Razak VS Hanung

Untuk kaki wayang, bermula Khamis lalu dua filem Melayu berentap di pawagam. Satu filem Soulmate Hingga Jannah arahan Datuk Prof A Razak Mohaideen dan satu lagi, Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2) arahan Hanung Bramantyo.

Kedua-duanya pengarah yang memang dikenali tetapi seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari Indonesia. Razak, 52, menghasilkan lebih 40 filem sejak 1996 dan mula dikenali dengan kisah anak mami dalam filem Anak Mami The Movie, Mami Jarum dan Mami Jarum Junior.

Razak terus berkarya dengan pelbagai genre mencakupi komedi, seram dan misteri. Antara karya terbarunya ialah Ngorat, Mana Mau Lari, Chowrasta, Anak Mami Nasi Kandaq dan Soulmate Hingga Jannah.


Selepas filem ini, tidak pasti masih adakah filemnya yang bersedia untuk ditayangkan atau dalam pembikinan atau akan dihasilkan tetapi melihat kepada sambutan filem arahan Razak akhir-akhir ini, kurang mendapat sambutan. Kita tunggu sambutan penonton terhadap garapan terbarunya ini.

Bagi SYTD2, sukar untuk meramalkan sambutan penonton terhadap karya dari seberang. Walaupun mendapat pujian sebagai karya yang bagus, sejarah juga menunjukkan sukar untuk filem Indonesia meletup di pawagam tempatan.

Hanung masih muda, 41, dan mula berkarya pada 2000 menerusi Topeng Kekasih dan hingga kini terus berkarya dengan hasil garapan membanggakan dan sungguh dihormati di negaranya.

Karyanya sering mengungguli pencalonan di Festival Filem Indonesia (FFI) dan dua kali terpilih Pengarah Terbaik menerusi filem Brownies pada 2005, dan dua tahun kemudian untuk Get Married.

Hanung juga cenderung menghasilkan filem Islamik seperti Ayat-ayat Cinta (2007), Doa Yang Mengancam (2008) dan Perempuan Berkalung Sorban (2009). Karya lainnya yang menjadi sebutan ialah Perahu Kertas begitu juga filem Hijab, 2014 dan Talak 3. Kemudian mengangkat tokoh Indonesia menerusi filem Soekarno Indonesia Merdeka (2013), Rudy Habibie (2016) dan Kartini (2016).

Banyak juga karya suami pelakon Zaskia Adya Mecca ini yang mencetuskan kontroversi dan protes daripada masyarakat seperti Perempuan Berkalung Sorban, Tanda Tanya, Cinta Tapi Beda dan Soekarno Indonesia Merdeka.

Hanung terus hebat dengan legasinya dan kini kembali dengan SYTD2 sekuel Surga Yang Tak Dirindukan arahan Kuntz Agus (2015).

Mana satu yang menjadi pilihan anda untuk mengisi waktu hujung minggu? Jika inginkan panduan, bacalah ulasan filem pada sudut pandangan wartawan Selebriti Metro Ahad, Amirul Haswendy Ashari di muka 24.