‘Rakyat Palestin Kini Putus Harap’.

SHAH ALAM - Rakyat Palestin kini putus harap terhadap segala usaha penyelesaian konflik membelenggu negara itu berdasarkan perkembangan semasa dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Omar Seyan berkata, keadaan bertambah buruk selepas rantau Arab kini turut bergolak dengan pelbagai masalah  yang menyebabkan tumpuan terhadap usaha pembelaan Palestin semakin terhakis.

"Banyak rundingan dibuat, tapi semua gagal.  Kini, pergolakan dalaman di Mesir, Turki, Arab Saudi dan Libya memberi banyak kesan.

Rakyat Palestin kini makin hilang harapan untuk melihat penyelesaian politik terhadap konflik terutama menamatkan kepungan Israel terhadap Gaza.  Kalau sebelum ini, negara-negara Arab jadi sandaran bantuan, mereka pun bergolak, siapa lagi boleh kita harapkan.

"Hari-hari lebih dua juta penduduk Gaza dibelenggu keganasan, penindasan dan diselubungi ketakutan.  Paling bimbang, tercetusnya perang baharu yang kesudahannya pasti menghancurkan Palestin," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Omar berada di negara ini untuk bersama Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Malaysia, Awang Suffian Awang Piut dalam usaha memperkasakan penerangan semasa konflik Palestin dan penjanaan dana membantu umat Islam di sana yang saban hari dihimpit konflik.

Mengulas lanjut, Omar berkata, harapan penyelesaian konflik juga semakin pudar selepas dasar Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran presiden baharunya, Donald Trump yang dianggap terus memberi tekanan kepada Palestin.

"Rundingan dengan Israel buntu dan apabila Trump datang (dipilih presiden baharu AS), ia tidak membawa apa-apa erti. Malah, dilihat terus memberi tekanan kepada Palestin.  Kami ibaratkan situasi  ini sebagai pintu impian tertutup mutlak," katanya.

Menurutnya, bantuan masyarakat dunia terus ditagih walaupun pelbagai misi kemanusiaan yang masuk ke Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan sekatan dan halangan.

"Sejak 2013, tiada lagi konvoi bantuan masuk ke Gaza.  Tiada misi yang berjaya tembus akibat sekatan ketat tentera Israel.

"Namun, alhamdulillah, penduduk Gaza bersyukur masih mampu menerima satu-satunya bantuan kewangan yang disalurkan menerusi Aman Palestin.  Bantuan itu kita agihkan secara tunai kepada mereka.

"Kami juga berharap bantuan ini berterusan dan berterima kasih terhadap keprihatinan dunia khususnya rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Awang Suffian berkata, sumbangan membantu rakyat Palestin boleh terus disalurkan ke akaun Aman Palestin Berhad: 12029010047880 (Bank Islam), Maybank: 5622633010787 dan Bank CIMB: 8600460353.-Sinar Harian