Rakyat Britain Mengundi


  • Print

  • Email

Details

Published on Friday, 24 June 2016 08:55







Pic:straitstimes.comPic:straitstimes.com


LONDON: Berjuta-juta penduduk di seluruh Britain keluar mengundi semalam untuk menentukan sama ada negara itu perlu kekal atau keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).


Jika rakyatnya memilih untuk keluar daripada EU, Britain akan menjadi negara pertama berbuat demikian dalam sejarah 60 tahun blok tersebut.


Keputusan kira-kira 46.5 juta pengundi yang berdaftar di 382 kawasan bakal menentukan masa depan Britain dalam 28 negara EU yang lahir dengan keazaman untuk mengembalikan keamanan selepas pembunuhan beramai-ramai dalam dua Perang Dunia.


Referendum itu akan bertanya: “Adakah perlu United Kingdom terus kekal sebagai anggota EU atau keluar daripada EU?”


Oleh itu setiap pengundi perlu pangkah satu daripada dua pilihan iaitu kekal sebagai anggota EU atau keluar daripada EU.


Pada malam sebelum referendum bersejarah itu, ke­dua-dua pungutan suara yang dikendalikan melalui internet dengan meletakkan kempen ‘Kekal’ hanya menerima satu atau dua peratus di depan.


Bagaimanapun, undian me­lalui telefon yang mahu terus Kekal pula mendapat pungutan suara sebanyak 48 peratus berbanding Keluar iaitu 42 peratus.


Namun begitu sebanyak 10 peratus pengundi lagi berada di atas pagar.


Pada masa yang sama beberapa institusi kewangan dilihat membuat persediaan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan berdasarkan kepada keputusan refe­rendum berkenaan.


Dalam pada itu, beberapa edisi akhbar Britain menggambarkan drama hari pengundian itu dengan menggunakan tajuk utama sebagai ‘Hari Kemerdekaan’, manakala akhbar The Sun pula menyifatkan sebagai ‘Hari Pembalasan’.


Kempen Keluar yang dike­tuai oleh bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson yang dianggap sebagai perdana menteri pada masa depan berkata, kempen itu berada di ambang kemenangan.


“Saya berfikir bahawa kita mungkin berada di ambang kemenangan yang merupakan satu peristiwa bersejarah dalam negara kita bahkan di seluruh Eropah,” katanya.


Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Came­ron yang mempertaruhkan legasi politiknya di dalam refe­rendum itu menggesa orang ramai supaya kekal berada di dalam blok.


“Winston Churchill tidak menyerah kalah kepada demokrasi Eropah. Ekonomi kita akan meleset dengan teruk jika kita mengambil keputusan untuk keluar daripada EU.


“Bayangkan jika anda keluar dari pesawat, anda tidak boleh memanjat semula. Jadi, kerana itu mengapa semua pengundi perlu tidak berasa ragu-ragu untuk kekal di dalam EU,” jelasnya.



- AFP