Rakam landskap langit malam, Ahmad Zahid cari kelainan

MINAT 'membawa' Ahmad Zahid Khalid dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Demi miknatnya itu, lelaki berusia 36 tahun ini sanggup menukar bidang pengajian ketika menuntut di School of Sound Recording, Manchester, United Kingdom.

"Awalnya, saya ambil kejuruteraan aeronautik hanya kerana memenuhi permintaan keluarga.


"Saya cuba untuk belajar, namun hanya mampu bertahan separuh jalan kerana tidak kena dengan jiwa.

"Akhirnya, saya memilih kejuruteraan bunyi," katanya pada Media Hiburan.

Menjadi jurutera bunyi, Ahmad Zahid ternyata berpeluang menimba pelbagai pengalaman berguna.

"Kerjaya saya bermula di Manchester Evening News Arena dan kemudian di BBC Greater Manchester. Namun, atas beberapa sebab, saya pulang ke tanah air pada 2009.

"Sejak itu, saya mula berkhidmat di Hot Sound Studios sekali gus menjadi freelance di pelbagai syarikat produksi.

"Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk belajar pelbagai kemahiran mengenai industri penyiaran," katanya yang juga terlibat sebagai jurutera bunyi band metal, Humiliation.

Berbekalkan pengalaman, Ahmad Zahid mengakui berminat dengan kerja produksi.

Justeru, sekadar mencuba nasib dan kebolehan diri, anak kelahiran Taiping Perak ini menyertai pertandingan dokumentari pendek, Talang Cannons pada 2013.

"Alhamdulillah, percubaan saya membuahkan hasil apabila dapat tempat kedua dalam pertandingan itu," katanya.

Enggan menoleh ke belakang, Ahmad Zahid bersama-sama rakan kongsinya, Najmi Jamaluddin nekad menubuhkan Inphase Media Sdn Bhd yang lebih berfokus kepada penghasilan dokumentari dan program berbentuk majalah pada 2014.

"Jujurnya, saya dan rakan kongsi mempunyai minat yang sama iaitu membikin dokumentari.

"Lagipun, bidang ini tidak terlalu ‘meriah’ jika dibandingkan dengan penghasilan drama mahupun filem.

"Kami juga mahu membuat sesuatu yang berbeza berbanding orang lain," katanya.

Cipta kelainan

Menyedari kedudukan sebagai pemain baharu dalam industri, Ahmad Zahid perlu mencipta kelainan demi menarik perhatian.

Atas dasar itu. anak muda ini menunjukkan kemampuan dalam menerbitkan timelapse documentary iaitu Carved In The Sky  berdurasi 30 minit pada 2015.

"Sesiapa yang terlibat dalam bidang ini pasti tahu sukarnya membuat timelapse documentary.

"Walaupun ia kerja gila, tetapi kami rasa inilah cara terbaik untuk mendapat tempat di dalam industri.

"Lagi pula, ramai individu dalam industri ini sangat berbakat, jadi persaingan sememangnya sangat tinggi," katanya.

Lebih membanggakan, percubaan itu berjaya buka mata ramai pihak sehingga 'ditauliahkan' kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Rentetan itu, katanya, pihaknya melangkah setapak lagi dalam menerbitkan dokumentari My Passion: Astrophotography iaitu merakam landskap langit malam yang amat menakjubkan.

"Apabila kami lihat ada peluang dan sokongan terutama daripada kerajaan, ia merupakan satu kepuasan.

"Sebagai menepati matlamat, kami memilih subjek astronomi untuk diketengahkan," katanya yang mendapat geran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Permintaan edaran ke luar negara

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, My Passion: Astrophotography menceritakan pengalaman sebenar tiga pakar bidang astronomi iaitu Antti Pietikainen, Babak Tafreshi dan Emma Zulaiha dalam 'menawan' fenomena ilmu falak dan keajaibannya.

"Dokumentari ini berdurasi 49 minit dan lokasi penggambarannya meliputi beberapa lokasi terbaik bagi setiap fenomena yang berlaku,

"Selain merakam keindahan langit malam, dokumentari ini juga memperlihatkan gaya hidup, cabaran, halangan dan situasi yang perlu ditempuhi," katanya.

Lebih mengujakan, katanya terdapat beberapa permintaan untuk diedarkan ke luar negara.

"Sasaran utama adalah untuk memasarkannya di stesen televisyen tempatan. Tetapi, semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan.

"Bagaimanapun, kami dapat beberapa pengedar untuk memasarkannya di Asia, Eropah dan Benua India," katanya.

Dalam pada itu, katanya, syarikat mereka turut merancang untuk menerbitkan tiga dokumentari 13 episod dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Jujurnya, kami sudah mempunyai tiga tajuk iaitu The Observes: Cosmology, Travelling Beats: Zee Avi dan Throwback: Malaya & Malaysia.

"Kami sangat menekankan story telling agar ia lebih berkualiti dan tidak syok sendiri," katanya yang juga berhasrat untuk menghasilkan filem tahun depan.