Pupuk nilai murni menerusi seni

Meriah dan menceriakan pelajar. Suasana itulah yang dapat disaksikan ketika berlangsungnya Program Jangkauan Seni Budaya: Seni@Pentas 2017 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa, Bandar Country Homes, Rawang, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan itu adalah salah satu pengisian di bawah program khas untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah sekitar Taman Desa Country Homes melalui pembelajaran seni budaya seperti teater, tari, muzik, nyanyian, pameran dan pengurusan produksi untuk persediaan masa depan mereka.

Ia juga menjadi landasan untuk remaja memantapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu seni budaya dalam diri mereka. Dalam program ini, pelajar turut didedahkan dengan nilai murni menerusi talk show Ceramah Budi yang disampaikan aktivis teater dan pelakon veteran, Fauziah Nawi.

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, program itu diadakan bertujuan menyemarak dan membangunkan seni serta budaya dalam kalangan generasi muda dan remaja.

“Kami mahu mereka menghayati dan membina keyakinan diri untuk berhadapan serta menempuh kehidupan yang kini sudah ‘ditelan’ oleh media sosial yang berleluasa di dunia luar.

“Dengan adanya program seumpama ini, mereka akan lebih menghargai kehidupan diri sebenar berbanding dunia maya yang memberi kelalaian dan khayalan samata-mata.

“Jati diri perlu dipupuk dan disemai dari sekarang kerana mereka adalah penyambung generasi yang akan datang. Selain itu, JKKN dan KPM berharap dengan adanya program ini, akan dapat memupuk minat pelajar dan masyarakat setempat terhadap seni dan budaya di samping dapat melahirkan bakat baru mengikut bidang yang diminati,” katanya yang turut merasmikan program itu bersama Pengetua SMK Taman Desa, Bandar Country Homes, Rawang Mohd Fauzi Zailan, Rawang.

Program selama dua hari ini diisi dengan bengkel pengurusan produksi, senam seni, persembahan kesenian daripada Artis Budaya Muzik dan Tari JKKN, persembahan daripada pelajar SMK Taman Desa, persembahan dan pameran yang disertai oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) dan Institut Kraf Negara, Rawang.

Terdapat lima fokus pelaksanaan yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung antaranya Bengkel Pengurusan Produksi yang dikendalikan sendiri Pengarah Bahagian Pengurusan Produksi dan Artistik, JKKN, Rosnan Nordin kepada 65 pelajar sehari sebelum majlis penutup.

Sepanjang sesi bengkel ini, pelajar diberi pendedahan dan latihan mengenali dan mengendali majlis, pengurusan pentas, pengurusan organisasi dan kumpulan serta persembahan.

Fokus kedua program ini adalah untuk memberi dan membuka minda pelajar sekolah bahawa bidang seni budaya adalah sangat luas bukan saja tertumpu kepada bidang tarian dan teater samata-mata.

Pelajar turut membuat beberapa persembahan seperti nasyid, kombo band dan bicara berirama (choral speaking) dalam program itu. Manakala ASWARA pula membuat persembahan dan taklimat sesi pengajian di tempat mereka serta kemudahan yang disediakan kepada pelajar yang berminat.

Seni@Pentas juga dimeriahkan lagi dengan persembahan Raftah Bhacit, Mohram dan Cassidy Anderson dari Australia.

“JKKN dan KPM sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air melalui usaha menyokong produk pelancongan budaya sebegini,” kata Norliza.