Prinsip Iedil Putra

PERJALANAN elaki ini di dalam bidang seni bukan baru bermula.

Bahkan dia pernah meninggalkan seketika industri seni bagi menumpukan pengajian dalam bidang perubatan di perantauan.

Bagaimanapun cinta mendalam terhadap dunia seni membawanya kembali ke Malaysia empat tahun selepas itu.

"Saya bersyukur kerana sedar lebih awal iaitu ketika saya masih dalam pengajian. Saya rasa lebih sukar andai sudah bergelar doktor dan kemudian meninggalkan karier itu, seterusnya bergelar pelakon.

"Walaupun belajar separuh jalan, tapi saya tetap sambung pengajian di Malaysia dan boleh transfer beberapa kredit untuk dapat Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan.

"Sokongan keluarga, teman rapat dan kini isteri membuatkan saya semakin selesa dengan keputusan saya dan tidak pernah sesal dengan kehidupan saya kini," ujar aktor berusia 33 tahun membuka bicara.

Tambah pemilik nama sebenar Tengku Iedildzuhrie Putra Tengku Alaudin atau lebih dikenali dengan nama Iedil Putra ini, dia berjinak-jinak dengan dunia seni seawal usia 10 tahun lagi.

"Kami adik-beradik sudah terdedah pelbagai persembahan seni dan kebudayaan daripada kedua ibu bapa sejak kecil lagi," katanya.

Ditanya tidakkah dia kesal apabila kebanyakan penggiat mahupun peminat industri terdiri daripada mereka yang mendahulukan populariti, Iedil berkata: "Saya tidak pernah kesal kerana kalau mahu berkarya, kita kena jujur dengan niat.

"Tidak dinafikan populariti jadi batu loncatan, bahkan orang sekeliling mahu mereka yang mempunyai populariti diangkat ke depan.

"Tapi saya berpegang pada prinsip, bakat itu nombor satu. Bagaimanapun saya rasa, sudah tiba masanya industri membuat satu anjakan. Contoh bila kita beri anak kecil makan makanan segera setiap hari, anak kita akan membesar secara tidak sihat.

"Begitu juga dengan industri, bila penonton disuapkan dengan populariti berbanding bakat, maka lambat laun industri kita tidak akan maju," jelasnya.

Justeru, besar harapan Iedil untuk mengubah perkara ini suatu hari nanti dan berharap perubahan ini dilakukan secara menyeluruh, sedikit demi sedikit.

"Tapi perubahan itu tidak dapat dilakukan dalam masa singkat, bahkan saya sendiri masih mencari ilmu, masih belajar.

"Sebab itu saya katakan perubahan ini boleh berlaku andai semua pihak mengambil bahagian, tapi semua itu bukan senangkan?," katanya.

Dan atas alasan pengalaman juga, Iedil yang sudah bergelar suami kepada aktres dari Indonesia, Prisia Nasution sejak Jun tahun lalu mengambil langkah mengembangkan lagi kariernya ke negara seberang.

"Boleh dikatakan kalau saya tidak ada kerja atau penggambaran, saya banyak habiskan masa di Jakarta.

"Ada juga saya terima tawaran berlakon telemovie dan program variasi bersama isteri.

"Apa yang boleh saya katakan, karier saya di sana masih baru, masih bertatih. Namun fokus utama saya masih di Malaysia kerana saya rasa masih banyak perkara yang belum saya explore di sini," ujarnya.

Pengalaman berharga

Berkongsi perkembangan terkininya, Iedil berkata, dia baru selesai penggambaran drama Cik Serba Tahu di samping Remy Ishak dan Sari Yanti.

Manakala filem terbaru lakonannya, J Revolusi akan menemui penonton di pawagam bermula 2 Mac depan.

"Orang asyik kata saya banyak berlakon filem, jadi saya cuba pula berlakon drama. Ada juga beberapa projek filem dari Malaysia dan Indonesia masih lagi dalam pertimbangan saya.

"Cuma fokus saya mempromosikan filem terbaru saya, J Revolusi," katanya.

Jelas Iedil, apa yang menarik perhatiannya mengenai filem tersebut adalah pengalaman berharga yang dapat dikutip sepanjang penggambaran filem berkenaan.

"J Revolusi filem pertama mengangkat Unit Tindakan Khas (UTK).

"Saya membawakan karakter sebagai Jiman yang banyak menjadi penggerak dan pencetus idea di bilik operasi.

"Walaupun tidak berpeluang menjayakan babak aksi melibatkan pergaduhan, tapi saya bertuah kerana dapat mengutip pengalaman bersama anggota UTK sendiri," ujarnya.