Polis Siasat Penyebaran Rakaman CCTV Kejadian Kim Jong-Nam Diserang

Kuala Lumpur: Polis sedang mengkaji tindakan terhadap penyebar rakaman CCTV kejadian Kim Jong-nam diserang di Klia 2 yang menyebabkan kematian abang tiri pemimpin Korea Utara itu.

Penyebaran video rakaman CCTV itu dianggap mengganggu siasatan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim ketika dihubungi berhubung penyebaran rakaman itu serta tindakan terhadap mereka yang menyebarkannya menjawab ringkas: "Kita akan kaji".

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika ditanya soalan sama berkata, polis akan menyiasat perkara berkenaan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Perkara ini (penyebaran rakaman CCTV) sedikit sebanyak mengganggu tugasan pihak polis," katanya.

Rakaman 2.33 saat itu disiarkan penyiaran asing dan tular di media sosial sejak malam tadi.

Isnin lalu, Jong-nam yang berada di Klia 2 untuk menaiki penerbangan ke Macau, diserkup mukanya oleh seorang wanita dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.-Harian Metro