Polis Dubai Panggil Model Aksi Ngeri

DUBAI – Polis Dubai memanggil model Russia yang melakukan aksi ngeri untuk satu sesi penggambaran di sebuah bangunan pencakar langit menandatangani perjanjian agar tidak membahayakan nyawanya, lapor sebuah akhbar tempatan, semalam.

Rakaman video model yang dikenal pasti sebagai Viktoria Odintcova, 23, menjadi viral selepas ia dimuat naik dalam laman Instagram awal minggu ini. Model itu dilihat bergantung di Menara Cayan, bangunan 73 tingkat tanpa sebarang peralatan keselamatan dengan hanya dipegang oleh seorang pembantu lelaki.

Timbalan Ketua Polis Dubai, Mejar Jeneral Khalil Ibrahim al-Mansouri dipetik akhbar al-Ittihad sebagai berkata, Odintcova sudah dipanggil untuk menandatangani perjanjian supaya tidak mengulangi tindakan berbahaya yang boleh mengancam nyawanya di Dubai.

“Apa yang dilakukan wanita Russia itu boleh mengancam nyawanya,” kata Mansouri.

Katanya, adalah penting penduduk di bandar Semenanjung Arab itu untuk mengelak hobi berbahaya tanpa mengambil langkah keselamatan atau mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa. Video itu ditonton lebih 500,000 kali selepas ia dimuat naik dalam akaun Instagram Odintcova. Reuters/BH